Tiada lagi alasan kelab tak lepaskan pemain sekiranya Piala AFF masuk dalam kalendar FIFA

4,507

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino telah menghadiri perlawanan akhir Piala AFF 2022 di mana pasukan Thailand telah muncul sebagai juara setelah menumpaskan Vietnam 3-2 secara agregat.

Kehadiran Infatino seakan-akan memberi bayangan kemungkinan kejohanan dwitahunan Piala AFF akan dimasukkan kalendar kejohanan FIFA.


Infantino juga menyatakan yang beliau kagum dengan perkembangan bola sepak di rantau Asia Tenggara (ASEAN) dan turut mengakui yang kejohanan Piala AFF merupakan kejohanan utama untuk rantau ini.

Terdahulu, beliau telah mengesahkan dirinya akan turut hadir pada perlawanan selepas mendapat jemputan daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Dengan bayangan yang diberikan Presiden FIFA itu, kejohanan Piala AFF sudah tentu akan jadi lebih kompetitif dan setiap negara yang akan bertanding pasti akan menghantar pemain terbaik mereka.

Sekiranya kejohanan itu sah dimasukkan dalam kalendar FIFA, maka kelab-kelab wajib melepaskan pemain mereka untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Tiada lagi alasan yang boleh diberikan seperti yang berlaku sejak beberapa tahun kebelangkangan ini.

Dalam pada itu, walaupun kejohanan ini diperlekehkan dan dipandang rendah, namun ia tetap menyumbang mata ranking FIFA buat skuad negara.

Ia terbukti apabila skuad Harimau Malaya berjaya mengutip 5.385 mata sepanjang kejohanan kali ini sekaligus bakal melonjakkan kedudukan ranking dunia Malaysia dari 145 kepada 142.