Safawi Rashid mahu VAR diwajibkan dalam saingan liga ASEAN

436

Sukan bola sepak pada masa kini tidak asing lagi dengan penggunaan VAR (Video Assistance Referee) seperti yang telah diguna pakai di Eropah.

Kini beberapa negara di rantau Asia Tenggara (ASEAN) sudah pun menggunakan VAR dalam saingan liga domestik mereka antaranya Thai League 1 dan Singapore Premier League, manakala V. League 1 dan Liga 1 Indonesia juga dalam perancangan untuk menggunakan VAR tidak lama lagi.


Malah, Liga Malaysia juga akan mula memperkenalkan VAR dalam saingan domestik pada musim ini tetapi ia tidak akan digunakan untuk saingan liga sebaliknya hanya akan digunakan pada perlawanan merebut piala yang mana ia mungkin membabitkan perlawanan separuh akhir dan akhir sahaja.

Penggunaan VAR pada setiap perlawanan bola sepak ketika ini boleh dikatakan satu keperluan kerana ia bukan sahaja dapat membantu pengadil membuat keputusan yang lebih tepat, tapi pada masa sama dapat meningkatkan kualiti permainan itu sendiri.

Perkara itu turut diakui oleh kapten pasukan Harimau Malaya iaitu Safawi Rasid yang berharap agar liga-liga di negara ASEAN perlu menggunakan VAR dalam saingan domestik.

Beliau berkata demikian ketika temubualnya bersama sebuah portal sukan di Thailand dan memberikan contoh insiden yang berlaku padanya ketika pasukannya Ratchaburi FC menentang Lamphun Warriors FC.

Dalam perlawanan tersebut, Safawi telah diterjah keras oleh pemain lawan sehingga menyebabkan beliau terpaksa diusung keluar akibat mengalami kecederaan.

Pemain tersebut pada awalnya hanya dilayangkan kad kuning sahaja, namun selepas pengadil membuat semakan VAR mendapati terjahan itu berbahaya dan terus menukar keputusannya kepada layangan kad merah.

Oleh itu, kita dapat lihat bahawa penggunaan VAR ini dapat meningkatkan dan memperkemaskan mutu pengadilan dalam sesuatu perlawanan sekaligus dapat memastikan pasukan yang sepatutnya menang, menang dan pasukan yang sepatutnya kalah, kalah.

Penggunaan VAR ini sedikit sebanyak akan membuatkan semua pihak termasuk penyokong akan berasa lebih berpuas hati kerana keputusan yang dibuat tepat.

Kita tidak dapat menafikan bahawa kadang-kala wujud juga pertikaian dengan keputusan pengadil walaupun menggunakan VAR, namun peratusan untuk seseorang pengadil itu membuat kesilapan menjadi tipis.

Oleh itu, diharap persatuan-persatuan bola sepak di rantau ASEAN ini akan memberi keutamaan kepada penggunaan VAR ini dalam saingan domestik masing-masing bagi memastikan kualiti bola sepak ASEAN lebih baik dan mampu bersaing di peringkat dunia.