Kobe Jae Chong turun ke divisyen tujuh, adakah kekal di divisyen bawah England lebih baik daripada sertai Liga Super?

340

Selepas dilepaskan oleh kelab divisyen enam England, AFC Telford United, pemain kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong telah ditandatangani oleh kelab divisyen tujuh negara itu Nuneaton Borough.

Ketika di AFC Telford United, beliau telah beraksi dalam 14 perlawanan dan mencatatkan 528 minit permainan, dengan kebanyakan aksinya bermula dari bangku simpanan.


Bagi sebilangan peminat bola sepak tanah air, perpindahan ini adalah satu lagi ‘downgrade’ buat dirinya selepas sebelum ini pernah berada di pasukan Peterborough United yang pernah bermain di divisyen kedua sebelum ke AFC Telford United.

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengaitkan beliau dengan beberapa kelab di Liga Malaysia sejurus selepas dilepaskan oleh Peterborough United tahun lalu.

Ketika itu, beliau membuat keputusan untuk terus kekal bagi mencari pengalaman di Eropah walaupun terdapat khabar angin beliau ditawarkan gaji lumayan di Malaysia.

Mungkin ini jugalah sebabnya beliau masih mahu kekal di England walaupun terpaksa beraksi di divisyen yang lebih bawah.

Dalam satu temubual bersama Harimau Malaya sebelum ini, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk mencontohi pemain Leicester City, Jamie Vardy yang pernah bermain di liga bawahan iaitu Stocksbridge, Halifax Town dan Fleetwood Town sebelum mengecap kejayaan bersama Leicester City.

Walaupun selepas menyertai Peterborough beliau sudah dua kali turun divisyen, ia tidak boleh dianggap sebagai satu perkara yang buruk buat kariernya.

Sekalipun di divisyen bawahan, harus diakui tahap bola sepak di sana mungkin masih boleh dibandingkan dengan saingan Liga Super.

Lihat sajalah penyerang Harimau Malaya, Darren Lok yang sebelum ini pernah bermain di divisyen keenam England bersama pasukan, Eastbourne Borough sebelum berhijrah ke Malaysia, dan kini menjadi salah seorang penyerang terbaik negara.

Bagi Kobe Chong pula, beliau sekarang masih muda dan baru berusia 22 tahun, dan perjalanan kariernya masih lagi panjang.

Apa pun keputusan yang dibuat oleh beliau diharapkan mampu membuatkan beliau menjadi seorang pemain yang lebih baik pada masa depan, sekaligus menjadi aset buat negara.

Mungkin apabila tiba masanya, satu hari nanti peminat bola sepak tempatan akhirnya akan dapat melihat aksinya di Liga Malaysia pula.