Pemain Malaysia terus cipta impak di Thailand, tiga wakil di separuh akhir Thai League Cup, ada potensi julang piala

1,371

Musim ini, terdapat tiga pemain Malaysia yang berkelana di liga bola sepak utama Thailand iaitu Safawi Rasid bersama pasukan Ratchaburi, Dion Cools (Buriram United) dan Junior Eldstal (PT Prachuap).

Safawi dan Cools terutamanya telah mencipta impak yang pantas bersama kelab masing-masing dengan menunjukkan aksi mantap apabila diturunkan.


Malah penyokong juga sudah mula menyukai mereka dan ada yang membuat lagu khas seperti mana penyokong Ratchaburi FC yang menyambut kedatangan Safawi Rasid dengan menyanyikan chant istimewa selepas beliau pulih dari kecederaan.

Terbaru, kecemerlangan pemain Malaysia yang berkelana di Thailand diteruskan dalam saingan Thai League Cup apabila ketiga-tiga kelab yang diwakili pemain Malaysia itu berjaya menempah slot ke separuh akhir, bersama satu lagi kelab iaitu BG Pathum United.

Pemain Harimau Malaya, Safawi Rasid yang bermain bersama pasukan Ratchaburi berjaya menggembirakan penyokong selepas berjaya memberi satu bantuan gol yang cukup penting kepada pasukan beliau.

Beliau kekal bermain sehingga tamat permainan dan berhasil membantu pasukan mencipta kemenangan 2-1 menentang Samut Songkram dengan gol dijaringkan oleh Anon Amornlerdsak dan Kritsananon Srisuwan.

Bekas pemain pasukan FC Midtjylland, Dion Cools pula terus memberi aksi terbaik bersama pasukan Buriram United dengan memastikan benteng pertahanan kekal utuh tanpa sebarang bolos.

Beliau juga bermain sehingga 90 minit dalam kemenangan tiga gol tanpa bolos dengan Suphanat Muenta, Haris Vuckic dan Goran Causic menjaringkan gol buat pasukan Buriram United menewaskan pasukan Bangkok United.

Manakala satu lagi pasukan iaitu PT Prachuap FC yang diwakili oleh Junior Eldstal berjaya menewaskan Lamphun Warrior menerusi gol dari Lossemy Karaboue dan Ibrahim Gbadamosi.

Namun, Junior Edstal tidak dapat bermain di dalam perlawanan tersebut kerana mengalami kecederaan dan mungkin akan mendapat peluang untuk bermain selepas pulih nanti.

Sudah pasti dua daripada kelab yang diwakili tiga pemain itu akan bertemu di separuh akhir dan Malaysia akan mempunyai seorang ‘wakil’ pada perlawanan akhir nanti, dan tidak mustahil juga salah seorang daripada mereka akhirnya akan menjulang piala itu.

Dengan peningkatan kualiti yang ditunjukkan oleh pemain Malaysia di sana, pastinya ia memberi manfaat kepada mereka kerana kita mengetahui bahawa Liga Thailand merupakan liga yang paling kompetitif di ASEAN.

Mungkin selepas ini lebih ramai pemain Malaysia yang perlu berhijrah ke sana untuk meningkatkan prestasi selain mandapatkan minit permainan yang lebih banyak.

Dan pastinya kelab di Liga Thailand akan mengalu-alukan kedatangan pemain Malaysia sekiranya pemain sedia ada ketika ini terus berusaha memperbaiki kualiti permainan dan sentiasa memberi komitmen 100 peratus di atas padang.