Kasual Perak FC buat hal lagi cetus provokasi, cemar imej penyokong yang lain dan pasukan sendiri

7,111

Pada perlawanan antara Perak FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Perak Sabtu lalu, terdapat satu insiden melibatkan penyokong kasual Perak yang dilihat membuat kekecohan ketika perlawanan berlaku.

Sekumpulan penyokong itu cuba melakukan provokasi terhadap penyokong kedah dan ada di antara mereka yang cuba mencari gaduh dengan pihak polis.


Tindakan mereka itu sedikit sebanyak menyebabkan reputasi yang tidak baik kepada penyokong Perak yang lain, lebih-lebih lagi pada perlawanan pertama pasukan itu.

Penyokong kasual seperti inilah yang mampu mencalarkan imej pasukan dan boleh menyebabkan kelab berdepan tindakan daripada pihak berkuasa.

Di saat Perak kini sedang membina semula pasukan dari bawah, penyokong seharusnya turut sama menampilkan mentaliti yang bertamadun dalam menyokong pasukan.

Segala usaha pengurusan baharu dan juga ketua jurulatih, Lim Teong Kim untuk membangunkan semula pasukan itu boleh terganggu dengan isu keganasan penyokong.

Pada tahun 2023 ini budaya samseng sepatutnya sudah dihapuskan daripada bola sepak dan digantikan dengan penyokong yang lebih bertamadun.

Penyokong Perak juga mempunyai reputasi yang kurang baik daripada dahulu lagi, justeru tindakan sekumpulan kecil penyokong tersebut pastinya boleh memburukkan lagi reputasi penyokong Perak, ibarat kata pepatah ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.

Diharapkan, selepas ini tiada lagi insiden seperti itu berlaku dalam mana-mana perlawanan, bukan sahaja melibatkan penyokong Perak tetapi penyokong semua pasukan.

Penyokong harus mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku musim lalu, termasuk ketika perlawanan Perak menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV yang menyebabkan pihak polis terpaksa masuk campur untuk menenangkan keadaan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen