Objektif tercapai, Soleen puji persembahan Malayan Tigress

203

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi meluahkan rasa bangga dengan persembahan Malayan Tigress B-20 dalam perlawanan persahatan antarabangsa pertama yang menyaksikan skuad negara berjaya benam Mongolia 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Walaupun perlu bermain dalam keadaan padang yang berlecak akibat hujan lebat, namun ia tidak mematahkan semangat skuad kendalian Cameron Ng untuk mempamerkan aksi menarik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.


“Kami telah mencapai objektif yang ditetapkan untuk perlawanan malam ini.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain persembahan teknikal yang baik, Soleen juga mengakui keghairahan yang ditunjukkan pemain juga menjadi antara faktor kejayaan Malayan Tigress biarpun pasukan lawan mempunyai corak permainan yang lebih teratur.

“Pasukan ini masih baru. Mereka hanya ada tujuh atau lapan sesi latihan kerana mereka baru bermula pada 21 Februari. Jadi apa yang Cameron lakukan dari awal adalah pembentukan kumpulan.

Tetapi sekarang ada lebih banyak bahagian yang perlu kami tingkatkan kerana para pemain masih baru dan masih memerlukan lebih banyak pengalaman dan penambahbaikan.”

Soleen bagaimanapun tetap percaya Malayan Tigress sudah bersiap siaga untuk ke pusingan kelayakan di Kemboja yang dijadual berlangsung pada 8 Mac ini.

“Ini adalah perlawanan persahabatan antarabangsa yang pertama dan ini adalah persiapan yang bagus kerana sebelum ini para pemain tidak terlalu terdedah dengan perlawanan di stadium atau dengan pasukan antarabangsa yang lain.

Saya juga rasa ini adalah persiapan yang bagus sama ada secara mental, fizikal dan teknikal untuk jurulatih menambahbaik berdasarkan perlawanan malam ini. Saya rasa mereka telah bersedia untuk bermain dalam pusingan kelayakan.”

Di samping itu, ketua jurulatih dari Jordan itu turut menyifatkan falsafah yang diterapkan oleh Cameron juga tidak mudah dengan semua pemain beraksi buat pertama kali dalam satu pasukan.

“Ia tidak mudah untuk mengaplikasikan falsafah Cameron. Bukan sahaja kerana beliau jurulatih baharu tetapi pemain juga baharu. Kebanyakan pemain masih muda dan menyertai pasukan kebangsaan dalam tempoh masa yang berbeza.”

Soleen dijangka akan berlepas bersama-sama skuad kebangsan ke Myanmar untuk perlawanan kedua selepas bertemu Kemboja bagi kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 dalam Kumpulan G.