Apa sudah jadi dengan bola sepak Kelantan?

4,922

Kontroversi kewangan antara kelab bola sepak Kelantan dilihat masih belum reda dengan isu hutang antara pekerja skuad itu pula kini menjadi tumpuan di media sosial.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sekali lagi berhadapan dengan kontroversi apabila kelab itu dikhabarkan tidak membuat bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada beberapa orang pekerja The Red Warriors sebelum ini.


Isu itu dibangkitkan oleh seorang pengguna Facebook yang merupakan bekas pekerja mendakwa tidak menerima sebarang bayaran dalam akaun KWSP walaupun bayaran tetap dipotong melalui penyata gaji yang diterima.

Menurutnya lagi, dia telah meletakkan jawatan sebagai salah seorang pekerja di persatuan itu pada Disember tahun lalu dengan bayaran gaji terakhir dibuat pada Januari tahun ini.

Walaubagaimanapun, bayaran dalam akaun KWSP masih tiada sebarang kemasukan sejak Januari hingga Disember 2022 sehingga timbulnya spekulasi bahawa mereka kini berada dalam krisis kewangan.

Tahun lalu, Zamsaham telah memfailkan saman terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) susulan kegagalan KAFA membayar hutangnya sebanyak RM3.93 juta.

Dalam pada itu, susulan dakwaan tersebut Zamsaham telah memuat naik kenyataan di media sosialnya menafikan perkara tersebut dan menjelaskan bahawa tiada pemain atau jurulatih yang berdepan masalah tunggakan gaji.

Beliau bagaimanapun mengakui ada kalanya berlaku sedikit kelewatan, namun gaji tetap di bayar.

“Bab EPF tentu sahaja kita akan bayar kerana semuanya berperingkat. InshaAllah kalau pemain tunjukkan aksi yang bagus dan menang selalu stadium penuh kita akan dapat selesaikan lebih awal,”

tulisnya.

Tambahnya lagi, sepanjang tiga tahun beliau memegang tampuk pimpinan kelab itu, mereka bebas dari sebarang isu tunggakan gaji dan jika ada sekalipun ia pasti isu atau kes tertentu.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui sentiasa mengambil berat mengenai perihal pekerja-pekerjanya dan sanggup meminjamkan wang atau memberi ganji pendahuluan sekiranya mereka terdesak.

Sementara itu, kejayaan pasukannya menewaskan Penang FC 2-0 dalam saingan Liga Super pada Ahad lalu di Stadium Sultan Muhammad IV telah menyaksikan Zamsaham telah memberi bonus tunai kepada pasukannya.

Diharap individu yang tampil membuat pendedahan ini dapat mencari jalan penyelesaian baik dengan pihak pengurusan kelab kerana sehingga kini Kelantan bebas dari sebarang masalah terutamanya masalah kewangan.