Kalah kepada Selangor dan Sabah boleh diterima lagi tetapi kepada Perak memang tak boleh – Sulaiman Hussin

9,162

Pembantu ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin mengakui kekalahan pasukannya ke atas Perak FC pada perlawanan Liga Super sebentar tadi kerana pasukannya bermain dengan buruk.

Beliau melihat pasukan Perak tidak bermain dengan baik tetapi kesilapan yang dilakukan oleh para pemainnya dan kegagalan menyudahkan peluang membuatkan mereka pulang dengan tangan kosong.


“Kita kalah pada malam ini bukan disebabkan Perak bermain dengan bagus tetapi kita yang main teruk, di Liga Super tiada ruang untuk buat kesilapan.

Lawan Selangor dan Sabah sebelum ini kita boleh terima kekalahan tetapi tewas kepada Perak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana tahap kita dan mereka sama sahaja,”

katanya.

Beliau berkata tidak memandang rendah pasukan Perak tetapi merasakan tahap kedua-dua pasukan adalah sama, justeru mereka harus memperolehi sesuatu daripada perlawanan berkenaan.

Kuching City tewas kepada Perak 2-0 hasil dua jaringan pemain Korea Selatan, Seo Seonung.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa para pemain harus segera belajar daripada kesilapan mereka dan melupakan tiga kekalahan berturut-turut ini.

“Jika kita mahu bersaing pemain kena tahu kehendak liga ini, mereka perlu belajar daripada pengalaman pada perlawanan-perlawanan sebelum ini dan tidak boleh ulangi kesilapan.

Tempoh ujian sudah tamat, ini adalah waktu mereka bangkit dan menjadi lebih matang jika ingin bersaing untuk berada di kedudukan yang lebih baik.”

Sulaiman percaya pemain-pemain Kucing City akan bangkit pada perlawanan selepas ini dan memperbaiki kesilapan yang mereka lakukan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Beliau mahu para pemain tidak mensia-siakan peluang yang mereka cipta pada perlawanan seterusnya.