Pemain ASEAN perlu berhati-hati dari ‘ditipu’ kelab Eropah yang tandatangan pemain untuk tujuan pemasaran kelab sahaja

3,333

Penyokong bola sepak di rantau Asia Tenggara (ASEAN) akan sentiasa teruja apabila melihat pemain-pemain dari rantau ini dipancing oleh kelab-kelab dari luar negara terutamanya dari Eropah.

Sebelum ini dunia bola sepak ASEAN bergembira dengan pemain kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai yang ditandatangani oleh sebuah kelab di Ligue 2 Perancis iaitu Pau FC.


Kehadiran pemain berusia 25 tahun itu ke kelab tersebut telah mencetuskan keterujaan ramai dan mendapat liputan meluas terutamanya dari media ASEAN.

Bagaimanapun baru-baru ini Presiden Pau FC telah membuat pengakuan yang cukup ‘kejam’ untuk penyokong bola sepak Vietnam apabila mengakui mereka menandatangani Quang Hai hanya untuk tujuan pemasaran sahaja.

Ia dibuktikan apabila pemain itu bergelut untuk menyesuaikan diri dengan hanya membuat 13 penampilan dengan satu gol sahaja, sebelum diturunkan ke Pau FC B yang beraksi dalam saingan liga di divisyen kelima.

Di divisyen lima juga beliau bergelut apabila hanya diturunkan dalam empat perlawanan tanpa mencatatkan sebarang bantuan gol atau menjaringkan gol.

Dalam pada itu, bukan Quang Hai sahaja yang menjadi mangsa ‘tipu’ kelab luar negara, pemain muda berpotensi besar Indonesia iaitu Pratama Arhan juga menjadi mangsa selepas berhijrah ke kelab Tokyo Verdy yang beraksi di J2 League.

Pratama yang memasang impian untuk melebarkan sayap ke salah sebuah liga terbaik di Asia bertukar mimpi ngeri apabila pemain itu hanya diturunkan sekali sahaja.

Lebih malangnya beliau juga kerap tidak tersenarai dalam senarai pemain di bangku simpanan.

Ramai penyokong Indonesia yang berang dengan kelab tersebut kerana dilihat seperti menggunakan populariti pemain itu untuk mmenaikkan nama kelab tersebut.

Ia dibuktikan jumlah pengikut kelab tersebut di media sosial naik dengan mendadak selepas pengumuman perpindahan Pratama ke Tokyo Verdy.

Sementara itu, penyokong Malaysia juga tidak terlepas apabila pemain kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid juga mengalami nasib yang sama apabila beliau dipinjamkan ke kelab di Portugal iaitu Portimonense SC.

Penyokong nyata teruja melihat pemain negara dapat bermain di Eropah membuatkan kelab tersebut yang sebelum ini tidak dikenali terus menjadi terkenal dalam kalangan peminat bola sepak negara.

Malah kelab tersebut juga memberi harapan palsu kepada peminat apabila di laman Facebook rasmi mereka, mereka telah ‘tagged’ Safawi seperti memberi bayangan pemain itu akan beraksi ketika menentang Santa Clara.

Malah saluran sukan terkemuka negara juga seperti kena ‘scam’ apabila mereka membeli hak siaran untuk perlawanan tersebut dengan harapan melihat Safawi berakhir, malangnya tidak.

Ia satu perkara yang cukup tidak baik kerana majoriti pemain ASEAN berhijrah ke luar kerana mahu melebarkan kariernya mereka termasuk menimba pengalaman bermain di liga tertinggi, tetapi sebaliknya yang berlaku.