Saingan liga masih lagi panjang, kita perlu tingkatkan prestasi untuk perlawanan akan datang – Tan Cheng Hoe

471

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak terlalu kecewa dengan persembahan pasukannya selepas mereka tewas 4-0 di tangan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi.

Menurut Cheng Hoe, pasukannya terpaksa akur kerana JDT adalah sebuah pasukan yang lebih baik, namun beliau berkata masih ada ruang untuk pasukannya untuk meningkatkan prestasi kerana saingan liga masih lagi panjang.


“Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik malam tadi. Jika kita melihat secara keseluruhan dari segi kualiti JDT mempunyai kelebihan.

Pada separuh masa pertama kita berjaya mengimbangi perlawanan termasuk kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Kekalahan ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kerana saingan liga masih panjang, dan kita perlu lagi tingkatkan prestasi untuk perlawanan akan datang,”

katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad Gergasi Merah bermain dengan begitu baik sekali sehingga minit ke-55′ apabila gawang mereka bocor.

Cheng Hoe juga membuat pertukaran awal dengan membawa keluar Faisal Halim, Hein Htet Aung dan Yazan Al Arab telah menyaksikan mereka kemudian bergelut untuk menandingi corak permainan intensiti tinggi sehingga mereka bolos tiga lagi gol pada minit ke-66′, minit ke-77′ dan minit ke-82′.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menjelaskan bahawa beliau terpaksa mengeluarkan Faisal Halim lebih awal walaupun beliau mempamerkan aksi cemerlang kerana pemain itu mengalami sedikit kecederaan.

Beliau juga mengakui dua pemain importnya iaitu Ayron Del Valle dan Yohandy Jose Orozco masih lagi belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan pasukan.

“Kedua-dua pemain ini cuba sesuaikan diri seperti yang banyak kali saya cakap kerana kedua-dua mereka masih lagi mencari rentak permainan mereka.

Tapi sebagai jurulatih kami masih lagi yakin dengan kemampuan mereka.”

Cheng Hoe bagaimanapun berkata beliau akan melihat prestasi kedua-dua pemain ini dalam lima perlawanan lagi sebelum saingan liga berehat seketika untuk temasya Sukan SEA.

Selepas ini untuk perlawanan keenam mereka, Selangor akan bertemu dengan KL City FC pada 31 Mac ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.