Bajet kelab di Liga Super paling kurang RM8 juta, di mana logik yang pasukan tak mampu tanggung kos penyelenggaran padang – TMJ

5,203

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris tidak faham dengan tindakan pasukan yang menolak cadangan geran rumput Zeon Zoysia yang akan diberikan oleh Kementerian Belia Dan Sukan.

Menurut TMJ, baginda berasa tidak logik untuk mereka mengatakan bahawa tidak mahu menggunakan rumput tersebut dengan alasan kos penyelenggaran tinggi sedangkan kos untuk menyelenggara padang yang menggunakan rumput jenis itu hanya bawah RM300,000 setahun.


“Bagi pandangan saya kos penyelenggaran bukan satu alasan kerana bajet paling kurang dalam Liga Super pada hari ini adalah RM8 juta untuk satu pasukan.

Penyelenggaran padang mula tidak mencecah lebih RM300,000 setahun, jadi di mana logik tiada pasukan yang boleh selenggara padang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah baginda lagi, ada beberapa kelab di Liga Super yang mendapat bajet puluhan juta daripada kerajaan negeri.

“Lagi-lagi ada kelab yang dapat RM20 juta lebih daripada kerajaan negeri termasuk ada juga kelab yang dapat lebih RM30 juta. Kos penyelenggaran padang paling tinggi pun RM280,000 sahaja. Takkan tak boleh selenggara? Tak masuk akal bagi saya.”

Baginda berkata demikian selepas hadir dalam majlis perasmian projek penggantian rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Dalam pada itu, TMJ mengakui kebanyakan kelab suka membelanjakan wang kepada perkara yang tidak berfaedah dan tidak mahu menukar rumput padang kerana merasakan ia akan memberi kelebihan buat pasukan lawan.

“Saya dalam industri bola sepak 11 tahun dan apa yang saya nampak adalah masalah utama kita letak kewangan dalam benda yang tidak berfaedah sebagai contoh tak nak tukar padang kerana kita rasa dalam saingan domestik akan memberi impak negatif terhadap skuad JDT, tetapi takkanlah dah 11 tahun tak sedar lagi bahawa benda itu tiada impak untuk kami.

Jadi sekarang ini kita perlu fikir dalam sudut lebih besar iaitu pasukan kebangsaan adalah keutamaan kerana kita ada pertandingan-pertandingan yang mana saya rasa kita ada harapan boleh pergi jauh, jadi kalau kita tak tukar padang sekarang dan jaga kualiti fasiliti kita akan ketinggalan.”

Sementara itu, TMJ turut menjelaskan bahawa baginda akan sentiasa memberi sokongan penuh untuk melepaskan mana-mana pemainnya untuk menyertai pasukan kebangsaan sekiranya perlawanan berlangsung dalam kalendar FIFA.