Adakah liga di Asia akan ikut EPL hentikan permainan untuk beri ruang kepada pemain beragama Islam buka puasa?

134

Baru-baru ini, Liga Perdana Inggeris dan Liga Bola Sepak Inggeris (EPL dan EFL) telah melakukan tindakan contoh dalam dunia sukan apabila secara rasmi akan membenarkan pengadil menghentikan perlawanan untuk pemain yang beragama Islam berbuka puasa pada bulan Ramadhan.

Antara pemain yang terkenal yang akan berpuasa pada bulan Ramadhan termasuklah jentera tengah Chelsea, N’Golo Kante, Mohamed Salah dari Liverpool, Kalidou Koulibaly, Ilkay Gundogan dan ramai lagi.


Pada tahun 2021, Leicester City dan Crystal Palace telah mencapai persetujuan dengan pengadil Graham Scott untuk membenarkan Wesley Fofana dan Cheikhou Kouyate berbuka puasa semasa pertengahan permainan.

Bahkan di Bundesliga, pada tahun 2022 juga dapat melihat perkara sama dilakukan oleh seorang pengadil yang membenarkan pemain pertahanan Mainz, Moussa Niakhate untuk berbuka puasa.

Ia adalah satu situasi bersejarah kerana ia adalah kali pertama perlawanan dihentikan bagi membolehkan pemain berbuka puasa.

Selepas sahaja perlawanan itu berakhir, jawatankuasa pengadil Jerman, telah meluluskan pengadil menghentikan permainan untuk membolehkan pemain berbuka puasa.

Diharap beberapa liga terkemuka dunia lain seperti La Liga, Serie A dan Ligue 1 akan turut mengikut jejak langkah sama kerana banyak pemain beragama Islam yang bermain di ketiga-tiga liga tersebut.

Bagaimanapun terdapat kontroversi pada tahun lalu apabila ketua jurulatih Saint-Etienne, Pascal Dupraz meminta pemainnya yang beragama Islam untuk tidak berpuasa kerana bimbang ia akan menjejaskan prestasi pasukan.

Dalam pada itu, diharap liga terkemuka di Asia seperti J League dan K League dan beberapa lagi akan mengikut jejak langkah sama.

Secara keseluruhan, keputusan yang diambil oleh liga-liga tersebut dalam membenarkan pengadil untuk memberhentikan perlawanan sementara bagi membolehkan pemain berbuka puasa pada bulan Ramadan adalah langkah yang sangat baik dalam menghormati kepercayaan agama pemain dan kebudayaan mereka.