‘Ronaldo effect’ mungkin boleh sampai ke Euro 2024

129

Cristiano Ronaldo atau lebih dikenali sebagai CR7, dilahirkan pada 5 Februari 1985 di Portugal, merupakan seorang pemain bola sepak terkenal di seluruh dunia dengan lebih dari 563 juta pengikut di Instagram, sekaligus menjadi atlet sukan yang mempunyai pengikut paling ramai di media sosial.

Memulakan karier bola sepaknya bersama Sporting Lisbon, Ronaldo mula dikenali di seluruh dunia selepas berhijrah ke Manchester United di mana beliau memperoleh pelbagai kejayaan ketika bersama kelab itu.


Beliau kemudian berhijrah ke Real Madrid, Juventus dan terbaru bermain di Saudi Pro League bersama Al-Nassr.

Pelbagai kejayaan berjaya diperoleh termasuk berjaya julang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali, dinobat sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA dan merangkul hattrick UEFA Champions League ketika bersama Real Madrid.

Tidak dapat dinafikan kemana sahaja Ronaldo pergi beliau akan membawa impak yang cukup besar terutamanya kepada kelab barunya sehingga muncul gelaran ‘Ronaldo Effect’.

Pengaruh Ronaldo tidak terhad ketika di atas padang bola sepak sahaja, sebaliknya beliau juga sangat berpengaruh di luar padang termasuk dengan siapa yang rapat dengannya.

Sebagai contoh ketika beliau dan Irina Shayk menamatkan hubungan mereka, bintang tenis itu kehilangan jutaan pengikut di media sosial dalam tempoh kurang 24 jam.

Satu lagi contoh terbaik ‘Ronaldo Effect’ adalah ketika satu sidang media perlawanan bola sepak yang memperlihatkan beliau mengalihkan minuman Coca-Cola yang merupakan penaja utama dengan berkata ‘minum air mineral’ bukannya minuman ringan tersebut mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

Susulan itu, saham syarikat minuman terkemuka dunia itu mengalami kejatuhan.

Perkara sama turut berlaku ketika beliau berhijrah ke kelab bola sepak baru yang pastinya akan melonjakkan populariti kelab itu di seluruh dunia.

Sebelum beliau berhijrah ke Arab Saudi, ramai yang mengkritiknya kerana tindakannya mahu bermain di liga Asia Barat, namun selepas Al-Nassr menawarkan kontrak lumayan yang juga kontrak termahal di dunia, seluruh peminat bola sepak dunia kini mula memberi perhatian kepada Saudi Pro League.

Lebih menarik lagi, baru-baru ini ketua jurulatih pasukan kebangsaan Portugal iaitu Roberto Martinez telah memanggil Ronaldo untuk menyertai skuad negara itu untuk kelayakan EURO 2024.

Kehadiran pemain berusia 38 tahun ke dalam kem Portugal dilihat mampu membawa impak positif buat pasukan itu, namun persoalan timbul adalah beliau akan tetap disenaraikan dalam skuad sekiranya Portugal layak ke pusingan akhir EURO 2024 kerana ketika itu beliau sudah berusia 39 tahun.

Suka atau tidak ‘Ronaldo Effect’ ini telah menjadi inspirasi buat jutaan pemain muda dalam mengejar cita-cita mereka untuk menjadi pemain bola sepak profesional.