E. Elavarasan akui bermain di waktu petang ketika bulan Ramadhan akan jadi cabaran besar buat pasukannya di Piala Merlion nanti

250

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-22, E. Elavarasan memberitahu pasukannya akan berdepan cabaran besar pada kejohanan Piala Merlion 2023 yang akan berlangsung di Singapura bermula 24 hingga 26 Mac ini.

Ini kerana pada perlawanan pertama menentang Kemboja B-22, mereka akan bermain pada waktu petang yang mana ketika itu adalah bulan Ramadhan.


“Kita kini berada di peringkat terakhir persiapan pasukan dan saya harapkan yang terbaik dari pemain saya. Cuma kita ada satu setback iaitu kita terpaksa bermain di waktu petang di bulan Ramadhan. Ia satu cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain nanti,”

katanya.

Skuad Harimau Muda dijangka akan terbang ke Singapura pada esok (23 Mac).

Dalam pada itu, Elavarasan menyuarakan keyakinannya pasukannya mampu mencapai sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mara ke perlawanan akhir Sukan SEA 2023 nanti.

“Kali terakhir kita jadi juara 2011 dan kini sudah 2023. Sasaran itu diletak oleh FAM, jadi untuk pihak kami, kami akan buat yang terbaik untuk capai KPI tersebut.

Ketika ini cara kita kendalikan skuad utama dan skuad B-23 ini dia ada peringkat iaitu peringkat 1,2 dan 3. Ketika ini kita berada di peringkat ketiga untuk menghadapi Piala Merlion dan dari sini kita akan tahu macam mana pendedahan kita di peringkat antarabangsa samada cukup atau tidak dengan pemain sedia ada atau tambah dengan pemain baru.”

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa tonggak utama Mukhairi Ajmal tidak dapat menyertai pasukan kerana mengalami masalah jangkitan perut, oleh itu beliau tidak mahu mengambil risiko dan mahu pemain itu pulih sepenuhnya terlebih dahulu.