Pemilik KL City FC sambut baik tawaran geran rumput Zeon Zoysia oleh KBS

360

Pemilik kelab KL City FC, Azri Azerai menyambut baik tawaran geran rumput Zeon Zoysia oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) baru-baru ini dan beliau teruja sekiranya ia menjadi kenyataan.

“Sebagai kelab bola sepak, kami sangat gembira dengan tawaran daripada KBS dan jika kami dibenarkan untuk dapat, pastinya kami akan teruja untuk memilikinya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Azri berkata demikian selepas diminta untuk memberi komen mengenai geran rumput untuk padang bola sepak oleh Menteri KBS, YB Hannah Yeoh baru-baru ini.


Dalam pada itu, beliau yang baru mengambil alih pasukan The City Boys itu sudah pun mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka masa panjang untuk kelab tersebut.

Perancangan itu termasuk mempunyai fasiliti latihan mereka sendiri sekaligus menyelesaikan masalah utama pasukan itu yang ketika ini tidak mempunyai fasiliti latihan sendiri dan kerap bertukar-tukar tempat latihan.

“Kami kini dalam perbincangan dengan beberapa pihak untuk memperbaiki dari segi fasiliti latihan kelab.

Apa yang saya lakukan saya akan mempunyai pelan jangka masa pendek dan pelan jangka masa panjang. Untuk jangka pendek seperti yang saya beritahu kami dalam perbincangan dengan beberapa pihak untuk membantu kami menyewa atau membeli tapak untuk dijadikan fasiliti latihan.

Bagaimanapun untuk jangka masa panjang sudah semestinya saya mahukan kelab ini mempunyai fasiliti sendiri.”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai sasaran KL City untuk musim ini, beliau mengakui masih dalam proses pembelajaran mengenai selok-belok bola sepak dan menyerahkan soal sasaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) iaitu Stanley Bernard dan ketua jurulatih Bojan Hodak.

Beliau pada masa sama turut memberitahu bahawa beliau tidak akan masuk campur dalam kerja CEO dan ketua jurulatih kerana meletak kepercayaan penuh kepada kedua-dua individu tersebut.

“Bagi saya senang ‘kalau tak rosak tak perlu nak baiki’. Apa yang mereka (Stanley & Bojan) lakukan sejak dua tahun lalu membuktikan kemampuan mereka dan kredit harus diberikan kepada mereka atas kejayaan dikecapi oleh kelab.”

KL City terlebih dahulu mencipta sejarah apabila berjaya menjadi juara Piala Malaysia 2021 dan pada tahun lalu mereka terus cemerlang apabila menjadi naib juara Piala AFC 2022.