Kehadiran Paulo Josue dan Endrick dos Santos tingkatkan kualiti Harimau Malaya – Stuart Wilkin

173

Pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin melihat penambahan dua pemain naturalisasi baharu, Endrick dos Santos dan Paulo Josue membuatkan kualiti pasukan kebangsaan lebih tinggi.

Katanya, kehadiran semakin ramai pemain baharu dapat meningkatkan lagi persaingan dalam skuad dan menekan pemain untuk menjadi lebih baik.


“Di sini ramai pemain yang baik, kita tahu semua pemain yang dipanggil mempunyai kualiti yang baik.

Kehadiran ramai pemain yang baik pastinya meningkatkan lagi tahap pasukan kebangsaan, saya sendiri harus terus bekerja keras untuk memastikan terus berada dalam skuad,”

katanya.

Menurutnya, beliau berasa bangga apabila dipanggil oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk kem kebangsaan kali ini dan mengakui ia memberinya keyakinan.

Sementara itu, beliau berkata dirinya hanya fokus kepada Harimau Malaya ketika ini walaupun kelabnya, Sabah FC bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tugasan antarabangsa.

“Apabila berada di sini saya hanya mahu fikir dan fokus terhadap pasukan kebangsaan.

Saya nak buat yang terbaik dan bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Hong Kong, selepas semuanya tamat baru saya fokus kepada perlawanan liga.”

Katanya, semua pemain sudah bersedia untuk perlawanan menentang Hong Kong dan mahu mendapatkan kemenangan lagi.

Perlawanan antara Malaysia dan Hong Kong akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada pukul 10 malam 28 Mac ini.