Main bola sepak perlu lebih stamina berbanding futsal, stamina saya kini dan makin meningkat – Intan Serah

335

Pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah percaya tahap staminanya kini semakin meningkat naik selepas berlatih di bawah ketua jurulatih negara, Soleen Al-Zou’bi.

Beliau yang sebelum ini lebih aktif dalam futsal mengakui bola sepak lebih memerlukan stamina yang tinggi, justeru beliau melihat dirinya kini sudah bersedia dari segi kecergasan untuk menjadi pemain bola sepak.


“Saya rasa stamina saya meningkat naik selepas kejohanan FAS Women’s Super League, kemudian persediaan yang coach Soleen lakukan selama 10 hari sebelum latihan rasmi bermula, beliau memang tekan kami untuk tingkatkan kecergasan.

Kita tahu dalam bola sepak kita perlu berada di atas padang selama 90 hingga 120 minit berbanding futsal yang ada pertukaran tanpa had, jadi saya memang perlukan kecergasan anaerobik yang lebih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Intan teruja untuk berlatih di bawah kendalian Soleen dan mahu mengambil pengalaman sebanyak mungkin daripada jurulatih yang berasal dari Jordan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Intanserah’ menyifatkan Soleen sebagai jurulatih yang mempunyai kepimpinan yang baik dan tahu menghormati para pemain.

“Saya sebenarnya teruja kerana bermain di bawah jurulatih baharu daripada luar negara, saya nak ambil banyak pengalaman daripada beliau dan saya harap beliau bawa budaya bola sepak yang baharu dalam bola sepak wanita di Malaysia.

Semua pemain memang gembira dengannya kerana beliau bawa sifat kepimpinan yang baik dalam pasukan, kami semau menghormatinya dan beliau juga menghormati kami.”

Sementara itu, beliau menegaskan tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun dalam pasukan termasuklah ketua pasukan, Steffi Sarge Kaur.

Malah, Intan gembira bermain bersama Steffi kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dan pandai menjaga para pemain di atas padang.