Kisah luar biasa Wrexham boleh dijadikan sebagai inspirasi kelab di Malaysia

480

Sukan bola sepak adalah sukan paling popular di dunia dan merupakan sukan nombor satu hampir di setiap negara, jadi tidak hairan industri bola sepak dunia bernilai berbilion ringgit.

Disebalik populariti bola sepak di peringkat dunia, namun ia tidak lari dengan masalahnya tersendiri terutamanya buat kelab-kelab bola sepak yang sentiasa perlu memastikan kewangan kukuh untuk terus bersaing.


Dunia bola sepak bola dikatakan agak kejam kerana kelab yang kaya dan mempunyai kewangan yang kukuh mampu membentuk sebuah skuad yang cukup ampuh dengan kehadiran pemain-pemain bintang dunia.

Bagaimanapun ada juga kelab bola sepak berdepan masalah walaupun berstatus pasukan gergasi dan masalah itu timbul dek pengurusan yang tidak cekap dan kompeten termasuk berbelanja tanpa memikirkan bajet kelab membuatkan sesebuah kelab terjerumus dalam kemelut kewangan.

Selain kelab yang sudah ada nama, kelab-kelab bola sepak kecil juga antara kelab yang sering bergelut untuk memastikan kelab mereka mampu terus bersaing sepanjang musim sekaligus bagi mengelak kelab ‘gulung tikar’ selepas lama berjuang untuk berada di tempat mereka ada ketika ini.

Namun dalam bola sepak tiada apa yang mustahil dan kadang kala ia umpama seperti sebuah kisah dongeng dan buktinya sudah ada di depan matai aitu Wrexham AFC yang bermain di National League.

Kisah luar biasa mereka mula mendapat perhatian selepas dua bintang Hollywood iaitu Ryan Reynolds dan Rob McElhenney telah membuat keputusan untuk membeli kelab tersebut kira-kira tiga tahun lalu pada tanda harga USD2.5 juta (atau sekitar RM11.14 juta).

Bagi anda yang tidak mengetahui mengenai Wrexham, mereka adalah kelab yang dimiliki oleh ribuan peminat kelab itu selepas kelab itu berdepan masalah kewangan untuk satu tempoh yang cukup panjang.

Tidak mudah untuk kedua-dua bintang Hollywood itu mengambil alih kelab itu kerana mereka perlu menyakinkan lebih 2,000 peminat yang juga merupakan pemilik bersama untuk menjual kelab itu kepada mereka.

Bagaimanapun mereka berjaya menyakinkan peminat dengan berjanji akan melabur ke atas pemain dan juga fasiliti kelab. Bukan itu sahaja, sepanjang proses pengambil alihan kelab, pelaburan dan perjalanan kelab turut dirakam dan dijadikan sebuah dokumentari bertajuk “Welcome to Wrexham”.

Dokumentari tersebut mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada peminat bola sepak di seluruh dunia dan menjadi inspirasi dan aspirasi kerana ramai termasuk kelab-kelab bola sepak kecil di seluruh dunia.

Namun kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya mereka terpaksa bekerja keras termasuk membuat banyak pengorbanan bagi merealisasikan misi utama mereka iaitu untuk keluar dari “non-League football”.

Setelah beberapa musim, Wrexham akhirnya berjaya merangkul kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 45 tahun di mana mereka telah berjaya layak ke EFL League 2 selepas 15 tahun.

Apa yang menariknya adalah bagaimana Wrexham melakukan pemasaran untuk mempromosikan kelab mereka sehingga mereka berjaya menarik minat penaja dari syarikat gergasi seperti TikTok, Expedia dan beberapa lagi.

Malah popularitinya mereka meningkat dengan cukup mendadak sehinggakan ada beberapa bekas bintang bola sepak tampil menawarkan khidmat mereka secara percuma antaranya bekas penjaga gol Manchester United dan penjaga gol kebangsaan England, Ben Foster yang sanggup keluar dari persaraan untuk bantu Wrexham dalam misi mereka.

Apa yang boleh kita pelajari dengan kejayaan yang dikecapi oleh Wrexham? Sebenarnya banyak perkara yang boleh dipelajari oleh kelab-kelab bola sepak di dunia termasuklah kelab bola sepak di Malaysia terutamanya kelab yang beraksi di Liga M3.

Disebalik pemasaran yang dilakukan untuk meningkatkan nilai komersial kelab, Wrexham sangat menitik beratkan mengenai peminat mereka yang mana dapat dilihat pelbagai usaha dilakukan untuk kembali menarik komuniti tempatan untuk kembali menyokong kelab bola sepak kesayangan.

Ia adalah salah satu inisiatif yang boleh dijadikan sebagai contoh kerana sesebuah kelab bola sepak perlukan sokongan padu daripada peminat kerana tanpanya kelab mungkin akan lumpuh.

Dengan adanya peminat dari tempat sendiri, kelab dapat menjana pendapatan menerusi jualan tiket, jualan jersi dan pelbagai lagi.

Tidak dapat dinafikan menguruskan sebuah kelab bola sepak bukannya mudah kerana ia memerlukan individu-individu yang mempunyai minat yang cukup mendalam dunia bola sepak.

Jika ia diuruskan oleh mereka yang betul, maka sesebuah kelab itu akan mampu terus berkembang dan maju sekaligus mampu kekal bersaing dalam liga tempatan.

Sememangnya lebih mudah bercakap dari melakukannya, tapi dengan keazamaan tiada apa yang mustahil. Tidak mustahil satu hari nanti sebuah kelab kerdil dari Liga M3 mampu menjadi sebuah kelab berjaya dan bersaing di Liga Super.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan! Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.