Laphel gembira dengan perkembangan MPL MY yang semakin besar

284

Pengacara Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-11, Mohd Amirul Aiman Mohammad Kamal meluahkan rasa gembiranya melihat perkembangan sukan Esports di Malaysia yang semakin popular.

Amirul Aiman atau lebih popular dengan panggilan Laphel memberitahu terdapat peningkatan ketara dalam saingan MPL MY dari tahun ke tahun dan ia kini semakin besar.


“Banyak peningkatan dari musim ke musim. Peningkatan itu secara keseluruhan sebagai contoh pentas semakin besar, peminat juga setiap musim semakin ramai termasuk interaksi peminat dan bersama pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut teruja dapat bergandingan dengan seorang lagi pengacara baru Rose yang mana beliau sangat selesa bergandingan walaupun musim ini adalah musim pertama mereka bergandingan.

“Saya sudah lama berkawan dengan beliau (Rose), cuma ini adalah kali pertama saya bekerja dengannya dalam MPL MY.

Sejujurnya walaupun secara teknikalnya Rose masih baru di pentas MPL MY tapi apa yang bagus mengenainya adalah personaliti dan beliau seorang yang sentiasa mahu belajar. Kalau kita tegur pun beliau akan terima teguran itu dengan hati yang terbuka.

Saya rasa kerja dengan Rose sangat-sangat bagus sebab beliau seorang yang cepat belajar dan mempunyai banyak kebolehan termasuk boleh bertutur dalam bahasa Tagalog.”

Dalam pada itu, Laphel juga mengakui menerima banyak kritikan dan kecaman negatif pada awal pembabitannya sebagai pengacara MPL MY, namun beliau melihatkan dari sudut profesional.

Menurutnya, beliau mengambil segala komen dan kritikan dari sudut positif dan akan cuba memperbaiki segala kelemahan untuk tingkatkan cara pengacaraannya.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perancangan masa depannya, Laphel berkata beliau sudah pun mempunyai perancangan tersendiri sekiranya jodohnya bersama MPL MY tidak berpanjangan.

“Benda itu saya sudah lama fikir kerana sebelum ini saya pernah menjadi jurulatih, penganalisis, pengacara dan sebagainya.

Untuk seterusnya saya masih belum pasti, itu sebab saya memulakan saluran YouTube saya sendiri dan mempunyai show kerana saya mahu dapatkan pengalaman buat show sendiri. Jika saya tidak bersama MPL MY lagi saya akan terbit rancangan saya sendiri.”