Kerjasama antara kelab bola sepak dan media boleh tingkatkan nilai komersial Liga Malaysia

258

Bola sepak Malaysia pernah beberapa kali mengalami zaman ‘gelap’ apabila ramai peminat bola sepak tanah air enggan memberi sokongan kepada saingan Liga Malaysia sebaliknya lebih gemar mengikuti perkembangan bola sepak luar negara terutamanya Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sebelum ini pelbagai usaha dilakukan oleh termasuklah mengubah jadual liga kepada hari minggu supaya tidak bertembung dengan perlawanan EPL yang sering berlangsung pada hujung minggu.


Inisiatif itu dilakukan supaya peminat tidak berada dalam keadaan dilema untuk memilih untuk menonton perlawanan mana kerana jika ia berlaku pastinya peminat lebih memilih untuk menyaksikan perlawanan EPL.

Usaha tersebut bukan sahaja dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) selaku pengelola liga, tetapi pihak media juga turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan liga tempatan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan bola sepak tanah air dan kini boleh dikatakan saingan liga domestik semakin mendapat perhatian ramai peminat apabila mereka sendiri telah melihat peningkatakan yang cukup positif sepanjang tempoh 10 tahun ini.

Kelab-kelab di Malaysia juga turut mendapat perhatian peminat bola sepak di luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara kerana beberapa pasukan telah mencipta kejayaan di peringkat Asia.

Pada tahun 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mencipta sejarah apabila berjaya menjulang Piala AFC buat pertama kali dan kemudian mereka mula bersaing dalam kejohanan berprestij Asia iaitu AFC Champions League (ACL).

Walaupun sering menjadi pasukan pelengkap kumpulan selama beberapa musim, JDT akhirnya sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya layak ke peringkat Pusingan 16 ACL pada musim lalu.

Bukan JDT sahaja, dua kelab yang beraksi di Piala AFC iaitu Kedah Darul Aman FC dan KL City FC turut mencipta sejarah apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Kedah Darul Aman FC apabila mereka kandas di pusingan kalah mati, manakala KL City mencipta sejarah gemilang mereka apabila berjaya menjadi naib juara Piala AFC.

Apa pun bola sepak tanah air ketika ini semakin memperlihatkan peningkatan sejak MFL melakukan penswastaan liga termasuk peningkatan kualiti permainan dan pelbagai lagi.

Disebalik perkembangan positif yang dapat dilihat ketika ini, Liga Malaysia masih lagi jauh ketinggalan di belakang Thai League 1 dan Liga 1 Indonesia dari segi nilai komersial liga.

Mungkin ramai yang menganggap perkara ini remeh kerana merasakan ia tidak akan merencatkan perkembangan liga, namun ia sebaliknya.

Ini kerana nilai komersial liga sangat penting kerana ia bukan sahaja untuk kebaikan liga tetapi juga akan memberi manfaat yang cukup besar untuk setiap kelab yang bertanding.

Dengan majoriti kelab sudah diswastakan, maka cabaran utama setiap kelab ketika ini pastinya untuk mendapatkan wang untuk membentuk sebuah skuad yang ampuh bagi mengharungi saingan liga setiap musim.

Lebih banyak wang yang diterima menerusi tajaan, maka kelab mampu untuk membeli pemain-pemain berkualiti.

Bagi pihak penaja, mereka pastinya akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk memberi tajaan kerana mereka adalah perniagaan dan perkara paling utama bagi mereka adalah pulangan pelaburan (ROI).

Jadi jika liga itu sendiri sendu dan tiada nilai komersial, bagaimana syarikat akan dapat pulangan dan ini akan membuatkan mereka tidak mahu menaja.

Suka atau tidak, setiap kelab bola sepak tidak boleh menafikan peranan penting yang dimainkan oleh media dalam menaikkan nama sesebuah kelab itu sendiri.

Dengan publisiti yang diberikan oleh media kepada sesebuah kelab, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai komersial kelab tersebut itu sendiri kerana sering menjadi perhatian ramai.

Ya, mungkin kadang-kala publisiti yang diberikan media tidak digemari oleh pengurusan kelab dek kontroversi, isu-isu yang berlaku dan bermacam lagi, tetapi kelab tetap akan menerima impak positifnya.

Bak kata pepatah, ‘Bad publicity is good publicity’!

Dengan dunia semakin moden kini, media juga sudah berkembang dan semakin banyak media baru yang muncul terutamanya media portal dalam talian.

Ya tidak dapat dinafikan media arus perdana masih lagi menjadi media nombor satu tetapi dengan sedar atau tidak media dalam talian kini menjadi platform utama untuk peminat-peminat sukan mendapatkan perkembangan terbaru dengan lebih cepat.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan bahawa peminat kini sudah mula beralih dari media arus perdana kepada media dalam talian.

Malah media arus perdana juga sudah mula mewujudkan media dalam talian mereka sendiri untuk mengikut peredaran semasa dan ia adalah satu petanda positif buat industri media terutamanya media sukan negara.

Malangnya disebalik perkembangan positif media dalam talian ini, masih ada segelintir pihak dan kelab bola sepak yang memberi layanan ‘double standard’ kepada media dalam talian berbanding media arus perdana.

Ada beberapa kelab yang sering menafikan akses kepada media dalam talian dengan alasan pihak mereka hanya mengutamakan media arus perdana walaupun media dalam talian mempunyai kad akreditasi sama seperti media arus perdana.

Malah ada juga yang bertindak lebih drastik lagi iaitu dengan tidak memberikan kerjasama termasuk menghalang sesetengah media dari membuat liputan dek terasa hati apabila ada media yang melaporkan permasalahan yang berlaku dalam kelab tersebut.

Pemikiran kolot seperti ini perlu diubah kerana media dan kelab bola sepak perlu bekerjasama dan bergandingan bahu untuk misi yang lebih besar iaitu mahu menarik minat untuk memeriahkan lagi sukan bola sepak tanah air.

Sekiranya berjaya, kelab bola sepak adalah pihak yang akan mendapat manfaat terbesar menerusi penambahan peminat turun ke stadium, jualan jersi dan barangan kelab meningkat dan kesemua ini akan menyumbangkan kepada kantung kewangan kelab itu sendiri.

 Oleh itu, kerjasama di antara pihak media dan kelab-kelab bola sepak sangat diperlukan kerana kedua-dua pihak mempunyai visi dan misi yang sama iaitu untuk membawa bola sepak negara ke tahap tertinggi dan meningkatkan nilai komersial liga.