Indonesia uji Argentina pada ‘FIFA Window’ Jun ini

1,023

Sebelum ini, peminat bola sepak Asia Tenggara kecoh selepas pasukan Argentina dikatakan akan mengadakan satu perlawanan antarabangsa dengan negara dari rantau ini.

Namun, pasukan yang dimaksudkan sebenanrnya adalah pasukan futsal negara itu yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan futsal Vietnam.


Baru-baru ini, perkara itu kembali kecoh selepas pasukan Indonesia dikhabarkan akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Argentina.

Ia selepas seorang wartawan Argentina, Gaston Edul mendedahkan perkara itu di Twitter dengan mengatakan pasukan Amerika Selatan itu akan bermain dua perlawanan di Asia ketika FIFA Window pada Jun.

Selain Indonesia, satu lagi lawan dari Asia yang menjadi pilihan Argentina adalah China.

Namun, pada Jun nanti, Indonesia telah dijadualkan akan bertemu Palestin pada 14 Jun.

Mungkin mereka kini sedang merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan dengan pasukan lain.

Menurut laporan, kos untuk mengajak Argentina mengadakan perlawanan persahabatan bermula daripada 5 juta USD (RM 22,185,000).

Adakah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bersedia untuk mengeluarkan wang sebanyak itu semata-mata untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan?

Tetapi ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa bukanlah pasukan utama Argentina yang akan menentang Indonesia tetapi pasukan B-20 tahunnya.

Ini sebagai satu ‘pampasan’ selepas hak tuan rumah Piala Dunia B-20 yang sebelum ini milik Indonesia diberikan kepada Argentina gara-gara isu boikot terhadap Israel.

Buat masa ini, laporan mengenai perlawanan persahabatan itu masih belum kukuh, sama ada ia melibatkan pasukan utama atau pasukan B-20.

Apa-apa pun, ia satu perlawanan yang amat baik dari segi nilai komersil dan pengalaman yang berharga buat pasukan Indonesia bertemu pasukan besar dunia.