Apa Amri akan buat selepas tamat kariernya?
Pemain senior Sabah FC, Amri Yahya yang kini sudah berusia 42 tahun telah ditawarkan jawatan dalam barisan kejurulatiha pasukan itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ahmad Marzuki.
Ahmad Marzuki dalam satu kenyataannya berkata tawaran itu dibuat kerana menyifatkan Amri seorang pemain yang bukan sahaja membimbing pasukan tetapi juga boleh menjadi contoh terbaik untuk rakan sepasukannya.
Beliau bagaimanapun berkata pemain itu tidak berminat untuk menceburi dunia kejurulatihan selepas bersara sebagai pemain bola sepak profesional.
Amri sememangnya sehingga kini menjadi sebutan peminat dengan komitmen dan sikapnya di dalam padang dan juga di luar padang.
Walaupun Amri sudah menyatakan pendiriannya tidak berminat untuk menceburi bidang kejurulatihan, namun beliau masih lagi terlibat dengan dunia bola sepak tanah air selepas gantung but.
Mungkin pengurusan The Rhinos boleh melantik Amri untuk menjadi duta pasukan itu yang mana beliau mempunyai aura terutamanya dalam memberi inspirasi kepada ramai terutamanya pemain bola sepak.
Disiplin tinggi yang dipamerkan oleh beliau menjadi bukti mengapa beliau masih lagi kekal relevan sebagai pemain bola sepak walaupun usianya sudah mencecah 42 tahun.
Cadangan untuk menjadikan Amri sebagai duta pasukan itu juga sangat baik kerana pengaruh besarnya.
Beliau mungkin boleh menghadiri program-program bola sepak terutamanya di seluruh negeri Sabah untuk memberi motivasi kepada pemain-pemain muda yang memasang impian untuk bergelar pemain bola sepak.
Semua sedia maklum bahawa Borneo mempunyai ramai pemain berbakat namun mereka sering dipandang sepi dek tidak mempunyai peluang untuk memperlihatkan bakat mereka.
Sudah tiba masanya untuk kita cungkil bakat-bakat baru terutamanya dari negeri Borneo dan Amri boleh menjadi individu yang tepat untuk berbuat demikian.
Apa pun pilihan Amri nanti, peminat sentiasa mendoakan yang terbaik untuk apa sahaja yang dipilihnya nanti.