Perang psikologi ‘El Clasico Malaysia’ sudah bermula antara peminat Selangor FC dan Perak FC

2,390

Hujung minggu ini perlawanan tumpuan ‘El Clasico Malaysia’ bakal berlangsung membabitkan Selangor FC dan Perak FC semakin hangat diperkatakan oleh kedua-dua peminat pasukan tersebut.

Kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah yang cukup panjang sejak berdekad yang lalu di mana setiap kali mereka bertembung ia akan menjadi perlawanan yang cukup menarik.


Kehangatan perlawanan di antara Gergasi Merah dan The Bos Gaurus ini tidak hanya kepada pemain kedua-dua pasukan sahaja, malah peminat turut sama teruja termasuk ‘perang’ psikologi yang dicetuskan kedua-dua peminat sebelum perlawanan berlangsung.

Tidak dapat dinafikan kedua-dua pasukan ini mempunyai jumlah ponyokong paling ramai dan berikutan fanatiknya peminat terhadap pasukan kesayangan menyebabkan kedua-dua peminat sebelum ini sering ‘bertempur’.

Pada tahun 2020, tular satu video yang memperlihatkan peminat kedua-dua pasukan bergaduh di luar stadium selepas tamat perlawanan tamat di mana ia dikatakan berpunca dari provokasi nyanyian atau ‘chant’ ketika perlawanan berlangsung.

Menjelang perlawanan pada 20 Mei di Ipoh, Perak nanti, nampaknya kedua-dua peminat sudah pun mula ‘berperang’ di media sosial apabila peminat dari kedua-dua pasukan itu mula berbalas-balas kenyataan di media sosial.

Diharap peminat kedua-dua pasukan dapat ‘berperang’ dengan secara berhemah dan hanya menghangatkan suasana sebelum perlawanan dan tidak terbawa-bawa sehingga ke hari perlawanan.

Pada masa sama diharap peminat juga dapat berkelakuan baik dan mengelak dari membuat sebarang provokasi pada hari perlawanan kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan sekaligus menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

Bukan sahaja ada yang akan cedera, tetapi tindakan tegas juga akan diambil terhadap perusuh dan pasukan kesayangan juga akan terkena tempiasnya apabila pastinya kelab akan didenda dek kelakuan ganas peminat mereka.

Setiap perlawanan mempunyai persaingan tersendiri tetapi peminat harus menghormati peminat lain juga dan mengelakkan sebarang konfrontasi yang membawa kepada pertengkaran.

Kita hanya boleh berharap apabila mereka bertemu Sabtu ini tidak akan membawa kepada sebarang pergaduhan di kalangan penyokong selepas perlawanan.