Sementara kita di sini sibuk berpolitik, negara-negara jiran telah maju ke hadapan – Hannah Yeoh

196

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan bahawa pertukaran Kerajaan Persekutuan serta tampuk pemerintahan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang kerap kali berlaku di negara ini memberi kesan kepada prestasi atlet kebangsaan di kejohanan-kejohanan antarabangsa.

Beliau berkata, setiap kali berlakunya penukaran Menteri KBS, akan ada penukaran ahli lembaga dalam persatuan sukan serta memberi kesan kepada bajet, justeru boleh mempengaruhi prestasi atlet.


“Sejak Mei 2013 Menteri KBS adalah Khairy Jamaluddin yang mempunyai 61 bulan untuk buat persiapan untuk acara sukan, kemudian Julai 2018 Syed Saddiq ada hanya 20 bulan untuk buat persiapan, selepas itu Reezal Merican 18 bulan dan kemudian Faizal Azumu 16 bulan.

Dalam empat tahun lalu kita dah tukar tiga menteri KBS, setiap kali bertukar, akan ada penukaran ahli lembaga dan juga bajet. Saya ada berbincang dengan atlet dan persatuan sukan dan mereka bersetuju, dalam empat tahun ini sementara kita di sini sibuk berpolitik, negara-negara jiran kita telah maju ke hadapan,”

katanya.

Hannah berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai prestasi atlet negara pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini di Parlimen.

Beliau memberi contoh dalam butiran bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, di mana tidak dinyatakan peruntukan yang diberi kepada Program Podium bagi tahun 2022.

Jelasnya, ia menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke temasya sukan utama bagi tahun 2022 seperti Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan juga Sukan Asia Hangzhou yang ditangguh ke tahun ini.

“Kesannya, seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus diberi untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah Program Podium.

Dalam masa yang sama, MSN terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan supaya tidak menjejaskan prestasi atlet yang sedang dalam latihan.”

Beliau berkata, setiap kali ada perubahan seperti itu, akan ada elaun atlet serta gaji jurulatih yang tertangguh kerana tiada bajet.

Tambahnya, ini memberi kesan kepada latihan atlet kerana ada antara mereka yang perlu ke luar negara untuk menjalani latihan.