LTK sudah lakukan apa yang termampu, namun frasa ‘trust the process’ tiada cukup untuk sokong projeknya

504

Tidak sampai separuh musim dibawa masuk untuk mengendalikan pasukan Perak FC, Datuk Lim Teong Kim secara rasminya telah dipecat daripada tugasannya itu serta merta hari ini.

Pengumuman oleh Perak itu hadir dua hari selepas pasukan itu tewas kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super, yang merupakan kekalahan ketujuh pasukan dalam liga musim ini, menyaksikan Perak berada di tangga ke-11.


Beliau menjadi jurulatih ketiga yang disingkirkan dalam Liga Super musim ini selepas Choi Moon-sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United).

Kekosongan posisi ketua jurulatih akan diisi oleh ketua jurulatih skuad Piala MFL Perak, Yusri Che Lah untuk sementara waktu sebelum pengganti dikenal pasti.

Keputusan Perak itu mendapat reaksi berbeza daripada peminat bola sepak tanah air, namun ia tidaklah mengejutkan memandangkan prestasi yang tidak menentu Perak sejak beliau mengambil alih.

Tetapi, ia berlawanan dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Pengerusi kelab, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi satu ketika dahulu mengenai prestasi yang terumbang-ambing pasukan itu.

Memetik temu bualnya bersama Astro Arena, Abdul Azim berkata bahawa semua pihak harus bersabar untuk melihat hasil projek yang dirancang oleh Teong Kim.

Namun, mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan kontrak jurulatih berusia 60 tahun itu ditamatkan lebih awal, yang pastinya sudah diteliti dengan lanjut oleh pihak pengurusan.

Sekiranya diambil kira daripada prestasi pasukan Perak dalam saingan liga semata-mata, mungkin ia boleh menjustifikasikan pemecatan itu, tetapi secara keseluruhan adakah adil sekiranya Teong Kim seorang sahaja dipertanggungjawabkan terhadap prestasi buruk pasukan?

Melihat kepada barisan pemain Perak sendiri, boleh dikatakan mereka memang ‘selayaknya’ berada di kedudukan tersebut.

Dengan majoriti pemain muda, tidak berpengalaman dikumpul dalam satu skuad yang baru dibentuk, segala-galanya harus bermula dari bawah.

Teong Kim bukanlah seorang ahli silap mata yang mampu membawa pasukan dengan pemain-pemain biasa bersaing dengan gergasi-gergasi liga yang mempunyai pemain yang jauh lebih hebat dan berpengalaman.

Ditambah pula dengan kebanyakan pemain import yang tidak menepati jangkaan, sukar buatnya untuk meletakkan Perak di tahap yang lebih baik daripada sekarang.

Tetapi apa yang pasti, beliau berjaya menerapkan gaya permainan moden ke dalam pasukan Perak.

Harus diakui, Perak adalah antara pasukan yang menunjukkan gaya permainan yang menghiburkan dengan intensiti tinggi, build up yang laju dari bahagian bawah, hantaran pendek pantas serta sering menekan pihak lawan.

Namun, ianya sukar disempurnakan tanpa pemain-pemain yang berkualiti yang mampu merealisasikan apa yang beliau cuba lakukan.

Dari segi individu, beliau juga berjaya mengubah pemain-pemain Perak menjadi seorang pemain yang lebih ‘segar’, yang sesuai dengan gaya bola sepak moden.

Ambil contoh penyerang yang dibawa masuk dari kelab Jepun, Hadi Fayyadh yang satu ketika dahulu hanyalah seorang target man klasik, tetapi berubah menjadi pemain yang mampu berada di mana-mana bahagian serangan.

Di bawah Teong Kim, Hadi dilihat lebih rajin mencari bola dan agresif dalam menekan pihak lawan serta lebih banyak membantu bahagian tengah pasukan.

Beliau juga tidak kekok apabila diletakkan di bahagian sayap dan lebih pantas dalam melakukan serangan.

Jadi, tidak banyak sebenarnya yang boleh dilakukan oleh Teong Kim dengan pemain-pemain yang ada sekarang ini.

Melakukan transformasi terhadap sebuah pasukan memerlukan masa, lebih-lebih lagi dengan rata-rata pemain muda dan tidak berpengalaman, tetapi nampaknya masa mencemburui Teong Kim.

Di Malaysia, frasa ‘trust the process’ sebenarnya tidak boleh diguna pakai kerana kebanyakan peminat mahukan kejayaan yang segera.

Pihak pengurusan akan ditekan dengan jangkaan peminat dan menyebabkan mereka tiada pilihan lain selain mengorbankan projek yang sedang dibina.

Walaupun hanya beberapa bulan sempat mengendalikan Perak, debut Teong Kim sebagai seorang ketua jurulatih dalam Liga Super sudah cukup memeriahkan saingan liga dengan karakter beliau yang unik.

Antara yang mencuri tumpuan pastinya beberapa adegan ‘panas’ ketika menjawab soalan daripada wartawan yang menyebabkan reputasinya sedikit ‘tercalar’.

Disebabkan itu juga, reputasinya di media juga dilihat tidak membantu dan beliau sering diserang apabila timbul kontroversi dengan media.

Namun, karakter unik seperti itu sebenarnya disukai oleh sebilangan peminat yang menganggap ia lebih memeriahkan saingan liga tempatan.

Sayangnya, peminat hanya sempat melihat projek yang cuba dibawa oleh Teong Kim untuk pasukan Perak selama beberapa bulan sahaja.

Diharapkan ini bukanlah pengakhiran kepada perjalanan beliau sebagai seorang jurulatih di Liga Malaysia.

Mungkin sudah ada kelab-kelab lain, sama ada dalam atau luar negara, sedang berkira-kira untuk mendapatkan khidmatnya selepas berita pemecatan ini.