Kes tunggakan gaji Sarawak dan Melaka United, PFAM perlu segera tunai ikrar bawa kes ke mahkamah sivil

86

Bekas pemain Melaka United FC, Razman Roslan baru-baru ini telah tampil dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh Persekutuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPro) mengenai masalah tunggakan gaji yang dihadapinya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menceritakan mengenai cabaran bermain tanpa gaji dan kesukaran untuknya mendapatkan hutang gaji daripada bekas majikannya itu.


Sebagai seorang mangsa dalam kes tunggakan gaji, dan kini terlibat dalam menyelesaikan kes seperti itu, beliau pastinya tahu peritnya apabila gaji tidak dibayar.

Sehingga kini kes yang melibatkan Melaka United masih belum selesai, dengan pihak terlibat asyik menyalahkan antara satu sama lain.

Bukan itu saja, kes melibatkan Sarawak United juga masih lagi tergantung, sedangkan para pemain yang terkesan ramai yang sudah beraksi di kelab lain.

Bekas ketua jurulatih pasukan itu, B Sathianathan juga sekali lagi bersuara mengenai tunggakan gaji oleh Sarawak United dan bagaimana pihak yang terlibat seolah-olah tidak mengendahkan perkara itu.

PFAM sudah beberapa kali mengutarakan mengenai perkara ini, namun persoalannya, sampai tahap manakah kemajuan kes tersebut yang sudah diambil tindakan oleh PFAM?

Sebelum ini PFAM ada menyatakan bahawa pihaknya akan membawa kes itu ke mahkamah sivil sekiranya ia tidak dapat diselesaikan di peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut laporan, badan tersebut sepatutnya sudah bermesyuarat pada 6 April yang lalu.

Jadi sepatutnya kes kedua-dua pasukan tersebut sudah dibawa ke mahkamah sivil seperti yang diperkatakan.

Harus diingat bahawa pasukan Kuantan FA pernah diheret ke mahkamah sivil dan pemain yang menjadi mangsa akhirnya mendapat keadilan apabila mahkamah mengarahkan supaya bekas pemilik diarahkan untuk membayar tunggakan gaji.

Justeru pihak PFAM haruslah memastikan perkara sama berlaku kepada Sarawak United dan Melaka United supaya para pemain dan pegawai yang terkesan mendapat hak mereka kembali.