Metodologi Sepanyol yang diterapkan di Kerteh FC mula membuahkan hasil cukup positif – Oscar Riera

803

Ketika ini majoriti peminat bola sepak Malaysia lebih tertumpu kepada kelab-kelab bola sepak besar yang beraksi di Liga Super tanpa menyedari kewujudan kelab-kelab kecil di peringkat amatur dan pembangunan.

Kerteh FC adalah antara salah sebuah kelab kecil tetapi mempunyai visi dan misi yang cukup mengkagumkan, malah tidak keterlaluan jika hendak dikatakan lebih baik dari banyak kelab-kelab profesional di negara.


Mempunyai perancangan jangka panjang yang cukup kukuh, kelab yang berpengakalan di Kerteh, Terengganu ini juga membawa masuk Penasihat Teknikal terkemuka dari Barcelona, Sepanyol iaitu Oscar Riera.

Bagi yang tidak mengenali Riera, beliau merupakan bekas Pengarah Pembangunan kelab gergasi di La Liga, Espanyol.

Riera juga mempunyai akademi bola sepaknya sendiri iaitu Riera Sport International Football & Soccer Academy yang berpengkalan di Barcelona.

Dengan pengalaman yang cukup luas dalam dunia bola sepak membuatkan beliau menjadi individu terbaik untuk mengemudi Kerteh FC.

Beliau yang kini sudah lebih tiga tahun bersama Kerteh metodologi yang diterapkan dalam kelab tersebut sudah mula membuahkan hasil.

“Di Kerteh, jurulatih-jurulatih melakukan latihan dengan menggunakan metodologi kami sejak dua tahun lalu dan ia sudah mula membuahkan hasil apabila kita kini mempunyai pasukan yang bagus.

Peningkatan yang cukup positif pemain-pemain menjadi bukti bahawa jurulatih kami di sini berjaya melakukan kerja dengan baik sekali,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya metodologi yang diterapkan bukan sahaja melibatkan corak atau gaya permainan, tetapi lebih kepada untuk melatih pemain menjadi seorang pemain yang bijak apabila berada di atas padang.

Dalam pada itu, beliau mahu memastikan setiap pemainnya mempunyai jumlah perlawanan kompetitif seperti pemain-pemain muda di Sepanyol.

“Di sini pemain di peringkat akar umbi bermain sekitar 12 perlawanan kompetitif sahaja dan apabila mereka sudah berusia 18 tahun di mana ketika itu mereka akan bermain di peringkat senior, mereka hanya mempunyai sekitar 60 perlawanan kompetitif sahaja.

Manakala pemain di Sepanyol pula mereka mempunyai lebih 300 perlawanan kompetitif apabila usia mereka 18 tahun kerana setiap musim mereka bermain sekitar 30-40 perlawanan kompetitif. Mereka ada liga di mana setiap minggu pemain-pemain ini akan bekerja keras untuk memastikan dapat bawa pulang tiga mata.”

Tambahnya lagi, sekiranya pemain-pemain di peringkat akar umbi di Malaysia mempunyai jumlah permainan yang cukup banyak sebelum mereka transisi ke peringkat senior, kualiti bola sepak pasukan kebangsaan akan menjadi lebih baik dan secara tidak langsung ranking negara juga akan meningkat.

Beliau turut memberi contoh bagaimana bola sepak di negara Jepun dan Korea Selatan boleh menjadi pasukan gergasi di dunia.

“Sebagai contoh, 20 tahun lalu Jepun dan Korea Selatan telah menghantar jurulatih dan pemain-pemain muda mereka di Barcelona untuk meningkatkan kualiti bola sepak mereka.

Sekarang kita boleh lihat hasilnya apabila kedua-dua negara ini menjadi gergasi dunia apabila Jepun berada di ranking 20 dunia dan Korea Selatan berada di ranking 27 dunia.”

Riera juga berkata Malaysia juga mampu menjadi seperti kedua-dua negara itu kerana apa yang dilakukan oleh mereka sudah terbukti berjaya, oleh itu Malaysia boleh ikut jejak langkah sama.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama antaranya dengan Kerteh adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang pemain dari kelab itu dapat bermain di liga Sepanyol.

“Di Sepanyol kita mempunyai struktur liga yang cukup baik di mana terdapat banyak peringkat, jadi apa salahnya kita bawa seorang pemain ke sana untuk bermula dari liga bawah dan perlahan-lahan naik ke liga atas.”