Liga Super baru masuk separuh musim tapi sudah penuh dengan isu sensasi

547

Pusingan pertama Liga Super bakal melabuhkan tirainya pada 9 Jun ini dengan perlawanan akhir membabitkan Terengganu FC menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum berehat seketika bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pasukan kebangsaan Malaysia.

JDT telah memperlihatkan dominasi mereka secara keseluruhan apabila berjaya menang kesemua 13 perlawanan dan apa yang menakjubkan kali ini adalah mereka berjaya menjaringkan 51 gol dan hanya bolos satu gol sahaja.


Mungkin ramai yang mengatakan saingan liga masih lagi terbuka untuk beberapa pasukan untuk mencabar kejuaraan pada musim ini, tapi realitinya JDT semakin hampir untuk menambah koleksi kejuaraan mereka buat kali ke-10 berturut-turut.

Ini kerana berdasarkan kedudukan liga semasa, JDT berada jauh dihadapan dengan kelebihan 11 mata di hadapan Selangor FC yang berada di kedudukan kedua dan dengan prestasi yang cukup cemerlang Harimau Selatan tampak sukar untuk melihat mana-mana pasukan untuk mencabar kedudukan puncak liga itu.

Ada juga yang sudah mengatakan siangan liga untuk merebut kejuaraan sudah pun tamat dan apa yang menarik ketika ini adalah untuk menyaksikan persaingan beberapa pasukan untuk merebut kedudukan kedua.

Saingan liga pada musim ini cukup mendapat perhatian ramai selepas Malaysian Football League (MFL) melakukan penstrukturan liga apabila memansuhkan saingan Liga Perdana buat sementara waktu bagi menambah jumlah pasukan di Liga Super kepada 18 pasukan.

Bagaimanapun, empat pasukan tidak dapat sertai liga menyebabkan hanya tinggal 14 pasukan sahaja yang dapat bersaing pada musim ini.

Saingan liga bermula dengan lancar untuk beberapa minggu sebelum satu demi satu isu timbul membuatkan Liga Super menjadi topik hangat dalam kalangan peminat.

Antara mutu pengadilan yang teruk terus menjadi topik hangat kerana peminat merasakan kualiti pengadilan bukan semakin baik, malah menjadi semakin buruk apabila pada awal musim sudah banyak kontroversi membabitkan keputusan pengadil yang menjadi pertikaian.

Ia menjadi semakin panas apabila pengadil kontroversi Zulkarnaian Zakaria atau lebih dikenali sebagai ‘pegadil botak’ digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas membuat keputusan yang amat meragukan ketika perlawanan Sabah FC menentang Penang FC.

Selain itu pengadilan, antara isu yang turut hangat sudah semestinya pemecatan beberapa ketua jurulatih di awal musim antaranya Tomas Trucha yang direhatkan selepas prestasi hambar Kelantan United FC.

Tidak lama kemudian Kelantan FC pula menjadi perhatian apabila mereka memecat pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon-sik juga susulan prestasi hambar The Red Warrior dalam saingan liga.

Bagaimanapun, pemecatan Moon-sik telah menyebabkan banyak isu dalaman kelab itu dibongkar oleh ejen jurulatih itu termasuk isu tunggakan gaji yang berlaku.

Rentetan isu Moon-sik, Kelantan terus dilanda pelbagai kontroversi apabila segala masalah dalaman kelab itu didedahkan termasuk rakaman audio pemilik kelab Norizam Tukiman melontarkan kata-kata kesat kepada pemain dan staf pasukan.

Kemuncak permasalahan kelab itu apabila Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengakui menahan gaji pemain sebanyak 50% dek prestasi hambar mereka dan akan ‘melepaskan’ baki gaji sekiranya mereka memperolehi kemenangan.

Susulan itu, Zamsaham dikritik hebat oleh banyak pihak mengenai tindakannya itu yang bukan sahaja menzalimi hak pemain-pemainnya, tetapi juga melanggar peraturan MFL.

Sejak isu itu ‘meletup’, bekas jurulatih dan pemain telah tampil membongkar lebih banyak lagi penindasan yang berlaku terhadap mereka.

Malah sebuah klinik swasta turut tampil mendedahkan bahawa kelab itu turut mempunyai hutang swab test COVID-19 yang masih belum dilangsaikan hampir dua tahun (Selepas pendedahan ini dibuat, pihak klinik telah memaklumkan bahawa pihak kelab telah membuat bayaran).

Isu Kelantan dijangka akan terus berlanjutan dan mungkin lebih ramai pihak akan tampil untuk membuat pendedahan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Perak FC turut berdepan situasi yang tidak diingini apabila ketua jurulatih Datuk Lim Teong Kim telah dipecat dek prestasi hambar yang dipamerkan oleh pasukan itu.

Pemecatan Teong Kim telah menyebabkan banyak pertikaian yang berlaku kerana ada yang setuju dan ada juga tidak bersetuju kerana pengendali itu perlu diberi ruang dan masa untuk membentuk sebuah pasukan yang ampuh.

Isu yang menjadi pertikaian adalah Perak yang diambil alih oleh XOX Berhad sebelum ini melantik Teong Kim kerana mahu membina pasukan itu dari bawah dan telah bersetuju dengan hala tuju pengendali itu yang mahu membina pasukan itu dengan menggunakan ramai pemain muda yang kurang pengalaman.

Pendekatan itu digunakan bagi memudahkan beliau menerapkan falsafah bola sepaknya dan perkara itu sudah memperlihatkan perkembangan yang cukup positif kerana walaupun mereka tewas, tetapi ramai yang memuji prestasi pemain-pemain yang memperlihatkan peningkatan.

Namun pendekatan ‘trust the process’ tidak bertahan lama apabila ada segelintir peminat yang mendesak pihak pengurusan melakukan sesuatu supaya pasukan itu tidak menjadi ‘lubuk’ tiga mata buat pasukan lawan.

Nak salahkan Teong Kim dan pemain atas kekalahan demi kekalahan? Sebelum mahu salahkan kedua-dua pihak ini mereka perlu lihat terlebih dahulu hala tuju asal kelab itu yang mana mereka mahu bina pasukan dari bawah.

The Bos Gaurus menjadi satu-satunya pasukan yang mempunyai ramai pemain muda dan mempunyai beberapa pemain import sahaja, jadi untuk melihat mereka sentiasa peroleh kemenangan adalah sesuatu yang cukup sukar.

Tukar jurulatih akan jamin kemenangan? Tidak juga kerana pengendali sementara Yusry Che Lah juga sudah mengalami kekalahan pertama beliau semalam apabila mereka tewas 3-0 di tangan Terengganu FC.

Dengan bajet yang terhad, menarik untuk melihat perubahan yang akan dilakukan oleh Perak pada jendela perpindahan kedua ini untuk memastikan pasukan itu dapat beri saingan sengit supaya dapat menghabiskan musim ini di kedudukan pertengahan liga.

Bukan sahaja Perak, pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka dalam masa terdekat ini juga akan menyaksikan pasukan lain turut akan membuat perubahan untuk meningkatkan prestasi pasukan untuk mengharungi baki saingan liga.

Pusingan kedua liga nanti akan menjadi lebih menarik dengan pasukan seperti Selangor, Sabah, Terengganu, Kedah dan Sri Pahang akan cuba merebut kedudukan kedua untuk memboleh mereka layak ke saingan Piala AFC 2024.