Barisan pertahanan JDT bukannya tidak teruji, tetapi kami lebih bersedia tangkis serangan lawan – Shahrul Saad

262

Pemain bola sepak kebangsaan, Shahrul Saad tidak merasakan barisan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak diuji secukupnya walaupun hanya bolos dua gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau berkata, pasukan lawan juga ada melakukan serangan tetapi barisan pertahanan JDT lebih bersedia untuk menangkis serangan yang dihadapi.


“Saya rasa bukannya kami tidak teruji tetapi kerana JDT memang ada satu kestabilan dalam pasukan, kami bertahan dan menyerang secara sama.

Nak kata pihak lawan tidak serang tak juga, cuma kami lebih bersedia untuk menempuh segala serangan dari mereka,”

katanya.

Beliau berkata demikian bagi membidas anggapan sesetengah pihak yang risau akan keampuhan barisan pertahanan Harimau Malaya yang kebanyakannya dibarisi oleh pemain JDT kerana dirasakan tidak teruji di peringkat kelab.

Dalam pada itu, Shahrul berharap sokongan padu diterima oleh mereka apabila beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam dua perlawanan persahabatan menentang Solomon Islands dan Papua New Guinea.

“Kita tahu aura penyokong Pantai Timur ni macam mana, saya rasa setiap perlawanan nanti akan penuh stadium.

Kami harap penyokong di Pantai Timur bantu kami beri sokongan yang padu untuk menaikkan semangat di atas padang nanti.”

Shahrul berkata, beliau bersedia untuk diturunkan dan akan memberikan yang terbaik jika dipilih oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Beliau mahu Malaysia mengekalkan momentum kemenangan dan terus menaikkan ranking, lebih-lebih lagi bermain di gelanggang sendiri.