Peminat di Indonesia ‘mengamuk’ dek spekulasi Messi tidak akan turun menentang Indonesia

125

Susulan satu ciapan di laman Twitter baru-baru ini wujud spekulasi yang membuatkan para peminat  Lionel Messi di Indonesia mula tidak keruan apabila pemain terbaik dunia itu tidak akan diturunkan menentang Skuad Garuda pada 19 Jun ini.

Menerusi hantaran daripada seorang wartawan ESPN, Leo Paradizo di laman Twitter, beliau berkongsi bahawa Messi berkemungkinan akan bermain satu perlawanan sahaja pada kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) kali ini iaitu menentang Australia di Beijing, China.


Ciapan itu nyata telah mencetuskan kemarahan ramai peminat yang majoritinya membeli tiket merasakan seperti mereka ditip menyebabkan ramai yang bertindak mahu menjual tiket itu semula kerana terlalu kecewa tidak dapat melihat bintang bola sepak kesayangan.

Terdahulu, tiket untuk perlawanan persahabatan antara kedua-dua pasukan ini habis terjual dalam tempoh dua minit sahaja.

Ramai juga peminat tegar yang sanggup berbelanja sehingga RM1,300 untuk tiket VIP demi melihat Messi beraksi di hadapan mata mereka sendiri.

Susulan spekulasi yang tersebar meluas, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) telah tampil menafikan perkara tersebut dan yakin bahawa Messi akan turun beraksi seperti yang dirancang.

Ini kerana sehingga kini tiada perbincangan mengenai Messi tidak akan bermain berlaku di antara PSSI dan AFA (Persatuan Bola Sepak Argentina), oleh itu beliau berkata spekulasi yang sedang hangat diperkatakan itu hanya sekadar khabar angin.

Diharap apa yang diperkatakan oleh EXCO PSSI akan menjadi kenyataan kerana jika benar Messi tidak datang dan diturunkan pada perlawanan itu nanti, mungkin insiden tidak diingini akan berlaku.

Umum mengetahui peminat bola sepak Indonesia adalah peminat paling fanatik dan ganas di rantau Asia dan ia telah pun dibuktikan dengan banyak insiden rusuhan yang meragut ratusan nyawa.

Sementara itu, walaupun perkara itu masih belum berlaku tetapi situasi yang berlaku itu hampir sama seperti yang berlaku beberapa tahun lalu apabila peminat bola sepak di Korea Selatan berang apabila ditipu hidup-hidup berikutan Cristiano Ronaldo yang diwar-warkan akan turun menentang pasukan K-League All Star untuk Jelajah Asia mereka tidak diturunkan langsung.

Peminat yang menantikan kelibat Ronaldo di atas padang sanggup menunggu dalam keadaan basah kuyup dek hujan lebat selain perlawanan terpaksa ditunda 50 minit keranan kelewatan penerbangan pasukan itu.

Perlawanan berlangsung selama 90 minit beraksi dengan keputusan seri dan kelibat Ronaldo langsung tidak kelihatan telah menyebabkan peminat yang hadir berang dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan menjerit nama Messi untuk mencemuh pemain Portugal itu.

Pada masa sama, ada segelintir peminat yang mendesak pihak penganjur untuk memulangkan semula wang mereka kerana berasa ditipu.