Sebagai satu-satunya pemain profesional dalam skuad Solomon Islands, saya rasa tekanan – Raphael Lea’i
Penyerang Solomon Islands, Raphael Lea’i mengakui beliau berasa tekanan dengan jangkaan para peminat kerana merupakan satu-satunya pemain profesional dalam pasukannya.
Katanya, ramai peminat di negaranya yang meletakkan harapan ke atas dirinya untuk membantu pasukan apabila bertemu Malaysia dalam perlawanan persahabatan esok.
“Ramai orang di negara saya yang letakkan jangkaan tinggi kepada saya menampilkan persembahan yang baik untuk membantu pasukan menentang Malaysia.
Secara peribadi saya teruja untuk perlawanan esok, ini kali pertama saya bermain di Asia dan saya tidak tahu apa akan jadi, tetapi saya tidak sabar untuk esok,”
katanya.
Beliau menjangkakan perlawanan esok adalah sukar kerana Malaysia adalah sebuah pasukan yang bagus.
Sementara itu, beliau memuji kehebatan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bakal menjadi venue perlawanan tersebut.
“Stadium ini memang menakjubkan, saya tidak pernah lihat stadium seperti ini seumur hidup saya.
Padangnya juga amat baik, saya sukakannya dan teruja untuk bermain esok.”
Dalam pada itu, beliau melihat bola sepak di Solomon Islands sedang berkembang dengan ramai pemain yang berbakat.
Beliau percaya dengan masa depan pasukan itu dengan pemain-pemain muda yang ada dalam pasukan.