Mungkin saya jarang main sebelum ini sebab itu khabar angin ke Penang timbul – Al-Hafiz Harun

514

Pemain sayap Kedah Darul Aman FC, Al-Hafiz Harun menganggap khabar angin beliau akan berpindah ke Penang FC pada jendela pendaftaran pemain kedua adalah disebabkan beliau jarang diturunkan beberapa perlawanan sebelum ini.

Katanya, buat masa ini fokusnya hanya bersama Kedah dan cuba untuk mengikut taktikal daripada ketua jurulatih, Nafuzi Zain.


“Itu semua khabar angin, mungkin kerana dalam lima perlawanan sebelum ini saya tidak bermain, jadi keluar berita itu.

Tetapi setakat ini saya fokus ke Kedah, saya akan ikut perancangan jurulatih,”

katanya.

Beliau bersyukur apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang PDRM sebentar tadi.

Al-Hafiz mengakui agak bergelut pada perlawanan itu diletakkan di posisi sayap kiri, kerana sudah biasa bermain di sayap kanan.

“Ini pertama kali saya main di bahagian kiri dengan Nafuzi jadi agak bergelut juga, sebelum ini selalunya main di bahagian kanan.

Tetapi saya telah cuba lakukan yang terbaik dan agak kesal sedikit gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.”

Walaubagaimanapun, beliau berkata apa yang penting adalah pasukan berjaya meraih tiga mata pada perlawanan itu.