Saddil Ramdani patut jadi contoh, nyanyi Negaraku dengan semangat walaupun bukan orang Malaysia

530

Bintang Indonesia, Saddil Ramdani berjaya mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan pada aksi Liga Super antara kelabnya, Sabah FC dan Sri Pahang FC Sabtu lalu selepas videonya menyanyikan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku tular.

Tidak hairan beliau mampu menghafal setiap bait lirik daripada lagu tersebut memandangkan ini merupakan tahun ketiganya bersama Sabah dan tahun keempat beliau beraksi di Malaysia.


Namun apa yang membuatkan ramai terpesona adalah Saddil dilihat begitu bersemangat menyanyikan lagu Negaraku, seolah-olah beliau seorang rakyat Malaysia.

Sebelum ini, ramai peminat bola sepak tanah air yang mempertikaikan keupayaan rata-rata pemain warisan serta naturalisasi negara yang dilihat tidak pandai menyanyikan lagu kebangsaan.

Ia benar kerana dapat dilihat pada aksi persahabatan Malaysia menentang Solomon Islands dan Papua New Guinea tempoh hari, ada sebilangan pemain yang hanya mendiamkan diri ketika lagu Negaraku berkumandang.

Sebagai rakyat Malaysia, Negaraku adalah lagu keramat dan sesiapa yang bergelar rakyat Malaysia haruslah tahu setiap lirik lagu tersebut, dan sebagai pemain bola, boleh dikatakan satu kewajipan untuk menyanyikannya sebelum beraksi bagi membangkitkan semangat.

Walaupun merupakan warganegara Indonesia, Saddil mampu menjadi contoh buat para pemain tempatan dari segi sikap patriotik dalam diri.

Mungkin bagi Saddil sendiri, beliau mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada Malaysia yang merupakan tempatnya mencari makan, justeru tidak janggal untuk menyanyikan lagu Negaraku.

Bukan sahaja buat pemain warisan dan naturalisasi, tetapi juga pemain-pemain lain juga perlulah mencontohi semangat yang ditunjukkan oleh Saddil ketika menyanyikan lagu kebangsaan.

Sepatutnya timbul perasaan malu apabila melihat rakyat negara lain menyanyikan lagu Negaraku dengan lebih bersemangat berbanding warganegara Malaysia sendiri.