Liga Arab Saudi agresif borong pemain ternama Eropah untuk membida Piala Dunia 2030?

375

Perkembangan Liga Pro Saudi yang sedang agresif memborong pemain-pemain berstatus bintang daripada liga Eropah pada jendela perpindahan tahun ini bukan sahaja untuk tujuan mempromosikan liga tersebut di mata dunia sahaja.

Namun ia dilihat merupakan percaturan jangka masa panjang negara tersebut dalam mencerahkan peluang mereka untuk proses pembidaan negara tersebut untuk menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia 2030 yang akan datang.


Dengan pembelian pemain ternama dunia mampu memberi keyakinan kepada masyarakat dunia tentang kesungguhan Arab Saudi yang sudah bersedia sebagai calon pembida utama edisi itu dan tidak boleh dipandang rendah lagi dari aspek kewangan, infrastruktur dan keselamatan yang sangat baik.

Pembelian nama-nama besar di liga ternama Eropah seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Ruben Neves, Kalidou Kaulibaly, Edouard Mendy, Sadio Mane, Roberto Firmino, malah dijangkakan lebih ramai pemain handalan daripada benua Eropah akan ke Liga Arab Saudi pada masa akan datang.

Proses pembelian ini dijangkakan tidak akan terhenti setelah jendela perpindahan tamat pada tahun ini sahaja tetapi juga akan lebih rancak pada jendela musim akan datang dengan pembelian nama-nama yang besar secara konsisten ke Liga Pro Saudi.

Kekuatan dari aspek kewangan menjadi bukti bahawa Arab Saudi bersedia untuk pelaburan yang lebih besar sekiranya bidaan mereka sebagai tuan rumah Piala Dunia menjadi kenyataan.

Pembelian seperti Cristiano Ronaldo dan karim Benzema juga yang turut akan menjadi duta delegasi Arab Saudi dalam hak bidaan Piala Dunia turut akan membantu dalam proses menaikkan imej Arab Saudi sebagai pembida utama secara tidak langsung.

Kesungguhan dalam membawa pemain-pemain bertaraf antarabangsa merupakan langkah yang positif buat mana-mana liga bola sepak di dalam dunia untuk lebih maju ke hadapan serta meningkatkan kualiti mutu liga.