Danny Chia kecewa prestasi merosot selepas 9 lubang

75

Pemain golf berpengalaman negara, Danny Chia kecewa dengan prestasinya pada hari pertama kejohanan Supra Cup 2023 apabila hanya berjaya mencatatkan satu di bawah par selepas melakukan 70 pukulan.

Menurut Danny, beliau bermula agak baik pada sembilan lubang pertama sebelum prestasinya merosot pada baki sembilan lubang.


“Saya bermula dengan agak baik tapi selepas sembilan lubang prestasi semakin merosot. Hari ini saya sedikit keliru dengan yardage book dan tidak yakin nombor menyebabkan saya tidak terlalu komited dengan pukulan saya.

Jadi saya tidak berpuas hati dengan permainan saya hari ini apabila hanya berjaya bermain satu di bawah par sahaja,”

katanya.

Beliau bagaimanapun gembira dengan putting yang banyak membantunya untuk memastikan skornya terkawal.

Tambahnya lagi, beliau ketika ini masih lagi sedang membiasakan dengan iron set barunya yang memerlukan sedikit lagi masa untuk menyesuaikan diri sepenuhnya.

Dalam pada itu, pemain berusia 51 tahun itu juga masih yakin beliau mempunyai peluang untuk menang, namun perlu segera bangkit perbaiki skor pada hari kedua.

“Saya sentiasa dahagakan kemenangan dan memberikan yang terbaik pada setiap kejohanan yang disertai.

Ya, saya ketinggalan beberapa pukulan jadi esok saya perlu perbaiki skor untuk mengejar pendahulu. Kita lihat apa berlaku esok.”

Terdahulu, Danny baru sahaja menjuarai kejohanan Corolla Cup yang pada 17 Julai lalu selepas menamatkan kejohanan dengan 12 di bawah par, sekaligus meninggalkan pemain di tempat kedua dengan empat pukulan.

Pada bulan Mac lalu juga turut menyaksikan beliau melakukan kebangkitan pada hari terakhir kejohanan untuk menjadi juara Trofi Tun Ahmad Sarji 2023 selepas mengumpul tujuh di bawah par.

Selain kejohanan tempatan, Danny juga memberitahu bahawa beliau akan terbang ke Jepun untuk menyertai kelayakan kejohanan senior dan jika layak beliau akan bermain dalam Jelajah Senior.