Di Vietnam, kelab V.League 1 tak boleh turunkan import apabila bertemu pasukan V.League 2 – Azmin Azram

2,039

Jurulatih penjaga gol kelab Liga Vietnam, Cong An Hanoi FC (CAHN FC) iaitu Azmin Azram Abdul Aziz menyifatkan bahawa ekosistem bola sepak di sana amat mementingkan pembangunan bakat tempatan.

Beliau melihat apa yang dilakukan itu menyebabkan pemain-pemain tempatan di sana mempunyai kualiti yang sama hebat, sama ada dari divisyen utama atau kedua.


“Apa yang saya lihat adalah liga di sini memang mengutamakan pemian tempatan, di V.League 1 hanya dibenarkan tiga import manakala di V.League 2 tiada seorang import dibenarkan.

Malah apabila pasukan dari V.League 1 bertemu pasukan V.League 2 pada perlawanan piala domestik, mereka tidak dibenarkan untuk menurunkan pemain import,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, jika dilihat pemain-pemain yang bermain di V.League 2, mereka juga mempunyai bakat yang mampu menyaingi pemain-pemain tempatan di liga utama.

Tambahnya lagi, saingan di Vietnam begitu kompetitif antara semua pasukan yang bertanding, bukan hanya kelompok teratas liga.

Jelasnya, tidak mudah untuk menang dengan margin gol yang besar di Liga Vietnam kerana kekuatan semua pasukan tidak jauh.

“Di Vietnam, semua pasukan sangat kompetitif bukan sekadar tiga atau empat pasukan teratas yang kuat, semua sekali bagi tentangan yang cukup baik.

Nak catatkan kemenangan juga bukanlah mudah, apabila kita menang atau kalah pun hanya dengan margin yang tidak besar.”

Azmin baru-baru ini berjaya menjulang kejuaraan V.League 1 bersama CAHN, walaupun baru dinaikkan pangkat ke divisyen pertama musim ini.

Musim lalu, beliau turut membantu pasukan itu menjuarai saingan V.League 2.