Kelab perlu lebih proaktif cari jalan tarik peminat kembali banjiri stadium

50

Saingan Liga Super bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) diramal bakal menjulang kejuaraan buat kali ke-10 berturut-turut sekaligus mencipta sejarah baru dalam bola sepak tanah air.

Disebalik kerancakkan saingan liga pada musim ini, namun tidak dapat dinafikan bahawa jumlah kehadiran peminat ke stadium semakin menurun walaupun membabitkan perlawanan tumpuan melibatkan dua pasukan gergasi atau musuh tradisi.


Contoh terbaik adalah ketika perlawanan Liga Super membabitkan gergasi utara Kedah Darul Aman FC (KDA) dan JDT baru-baru ini yang menyaksikan hanya 10,000 lebih sahaja peminat yang membanjiri Stadium Darul Aman (SDA).

Berbeza dengan perlawanan sama pada musim lalu yang menyaksikan SDA dibanjiri lautan Hijau Kuning sehingga ramai yang berang dek tidak dapat menyaksikan perlawanan kerana tiket habis dijual.

Realitinya terdapat trend penurunan kehadiran peminat ke stadium dan ini memberi petanda yang tidak sihat untuk industri bola sepak tanah air.

Umum mengetahui bahawa sesebuah kelab bola sepak perlu berbelanja besar setiap tahun untuk memperkuatkan pasukan bagi memastikan mereka mampu memperoleh kejayaan atau kejuaraan.

Membina sebuah pasukan yang mantap perlukan dana kewangan yang besar dan tanpa wang pastinya mustahil untuk mewujudkan sebuah skuad ampuh.

Peminat adalah antara penyumbang pendapatan kepada kelab dan jika kelab gagal berbuat demikian, sudah tentu pendapatan kelab juga akan berkurangan.

Mungkin pendapatan dari peminat tidak banyak, namun kehadiran peminat membanjiri stadium dalam setiap perlawanan amat penting kerana mereka mampu membantu kelab secara tidak langsung iaitu dapat membuka mata bakal penaja.

Ini kerana penaja tidak akan mengeluarkan wang untuk menaja kelab yang tidak mampu memberi pulangan pelaburan (ROI) kepada mereka, oleh sebab itu jumlah kehadiran peminat di stadium boleh menjadi ‘selling point’ kelab itu menyakinkan penaja.

Pihak pengurusan kelab juga kini perlu lebih terbuka dan proaktif dalam merencana pelan terbaik untuk menarik semula peminat ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan.

Dengan dunia semakin moden dan canggih, pihak pengurusan kelab harus bijak menggunakan platform media sosial untuk menarik lebih ramai peminat.

Pujian harus diberikan kepada pihak pengurusan Perak FC iaitu XOX ketika ini apabila mereka dilihat cukup aktif dalam membuat pelbagai aktiviti promosi untuk menarik peminat ke stadium dan pada masa sama mempromosikan produk mereka sendiri.

Terbaru, Perak akan mengadakan Karnival Mesra Anak Muda yang mana ia adalah acara untuk seisi keluarga di mana pelbagai aktiviti menarik seperti bertemu artis, karnival kerjaya, himpunan motorsikal, konsert dan banyak lagi.

Apa yang menarik juga adalah XOX dan Perak turut mempunyai booth yang mana mereka bukan sahaja menjual barangan eksklusif pasukan, tetapi juga memberi ruang dan peluang kepada peminat untuk bertemu dengan pemain-pemain The Bos Gaurus.

Usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak pengurusan Perak dapat memperlihatkan peningkatan yang cukup positif buat pasukan itu apabila semua dapat melihat jumlah kehadiran peminat ke stadium semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan walaupun pasukan itu tidak berada di kelompak atas liga.

Mungkin pihak pengurusan kelab-kelab lain boleh mengikut jejak langkah Perak dalam usaha untuk menarik lebih ramai peminat untuk lebih dekat dengan kelab itu sendiri.

Pihak pengurusan sepatutnya menjadi orang tengah dalam merapatkan hubungan antara pasukan dan peminat supaya peminat merasa sense of belonging dengan kelab kesayangan mereka.

Pemain pula tidak sepatutnya bersikap kekwat atau sombong dengan peminat sendiri kerana mereka harus ingat bahawa populariti yang dikecapi oleh mereka turut disumbang oleh sokongan peminat.

Apa salahnya meluangkan sedikit masa untuk peminat kerana mereka akan berasa cukup dihargai sekiranya ada pemain yang meluangkan masa untuk bergambar dan autograf.

Tidak perlu melihat jauh ke Eropah, lihat sahaja peminat bola sepak di negara jiran Indonesia yang mana mereka merupakan antara negara yang mempunyai peminat bola sepak yang cukup fanatik.

Ya tahap fanatik mereka sehingga ada yang sanggup berbunuhan, tetapi kita tidak perlu melihat dari sudut negatif sebaliknya lihat dari sudut positif iaitu peminat mereka tetap turun ke stadium untuk sokong pasukan kesayangan walaupun berada di kedudukan tercorot.

Jadi tidak hairan apabila melihat liga di Indonesia lebih maju dan mempunyai nilai komersial yang tinggi dek sambutan daripada peminat yang cukup memberangsangkan.

Jika setiap kelab di Malaysia mengambil inisiatif untuk merapatkan hubungan antara pasukan dan penyokong, tidak mustahil untuk melihat stadium akan penuh dengan peminat.