Kadang-kadang saya jangkakan lebih daripada Ivan Mamut – Tomislav Steinbruckner

153

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menegaskan penting buat pasukannya untuk tidak mengharapkan seorang pemain sahaja untuk menjaringkan gol, dan mahu pemain-pemain di posisi lain turut berusaha menjaringkan gol.

Katanya, Ivan Mamut berada dalam momentum yang baik sekarang, namun beliau tetap mengharapkan sumbangan lebih daripada pemain itu.


“Kebiasaannya Ivan menjaringkan gol lebih banyak dari pemain lain tetapi ini adalah kerja keras daripada semua pemain, penting untuk ada banyak penjaring bukan daripada seorang pemain saja.

Kadang-kadang saya menjangkakan lebih daripada Ivan tetapi beliau kini berada dalam momentum yang baik,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan Piala AFC menentang Central Coast Mariners esok.

Dalam pada itu, beliau merasakan Terengganu kini dalam momentum yang baik dengan 11 perlawanan tanpa kalah buat masa ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa setiap perlawanan adalah berbeza dan mereka kini semakin sibuk selepas saingan Piala AFC bermula.

“Kali terakhir kami tewas adalah ketika menentang JDT pada 9 Jun lalu, ini adalah momentum yang baik dan saya amat bangga dengan pemain.

Namun setiap perlawanan adalah cabaran yang berbeza, tetapi saya percaya dengan pemain saya, buat masa ini saya hanya risau pemain akan penat serta kecederaan kerana kami akan bermain setiap empat hari.”

Beliau juga berterima kasih kepada bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain serta barisan kejurulatihannya kerana membawa Terengganu ke Piala AFC dengan prestasi musim lalu.