Terengganu mungkin lebih cergas daripada kami ketika ini – Abbas Saad

182

Ketua jurulatih Central Coast Mariners, Abbas Saad mengakui Terengganu mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana aksi Liga Malaysia sudah lama bermula berbanding Liga Australia yang sedang bercuti ketika ini.

Katanya, perjalanan jauh yang mereka tempuhi serta cuaca juga akan memberikan cabaran yang besar buat para pemain tetapi percaya mereka sudah bersedia untuk perlawanan esok.


“Terengganu mungkin lebih cergas daripada kami ketika ini, kami ketika ini baru pramusim dan satu perlawanan piala.

Kami juga menghadapi perjalanan jauh dan perlu membiasakan diri dengan cuaca, saya pernah bermain di Malaysia dan saya tahu bagaimana sukar untuk sesuaikan diri dengan cuaca, namun pemain sudah bekerja keras dan kami teruja untuk beraksi esok,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan Piala AFC menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun dirinya baru diberikan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih, pasukan itu sebenarnya sudah bersedia untuk Piala AFC sejak enam minggu lalu.

“Pasukan ini telah bersedia untuk Piala AFC sejak enam minggu lagi, mereka sudah bekerja keras jadi tiada benda baru buat kami.

Saya baru dua minggu mengendalikan pasukan, saya amat gembira dan dapat sokongan penuh daripada pemain serta pengurusan pasukan.”

Beliau mengakui bahawa Terengganu adalah satu pasukan yang kuat dan menjangkakan perlawanan yang sukar.