OSCA Youth Soccer Academy turut bantu JPN dan PPD Sabah – Jaafar Yusof

120

Ketua jurulatih OSCA Youth Soccer Academy, Jaafar Yusof memberitahu peranan akademi tidak hanya untuk melahirkan pemain berkualiti untuk akademi itu sendiri sahaja tetapi juga dapat membantu program pembangunan bola sepak di negeri Sabah.

Menurut Jaafar, akademi OSCA akan turut menjadi platform untuk membantu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam mencungkil bakat-bakat baru tanpa hanya mengharapkan pihak sekolah sahaja.


“Saya sebagai seorang guru dan saya juga terlibat dalam pembangunan bola sepak di peringkat JPN, jadi saya nampak ini adalah satu platform untuk bantu JPN terutamanya PPD (Pejabat Pendidikan Daerah).

Ini adalah salah satu platform yang kami dapat buat. Kalau kami bergantung kepada sekolah ia hanya pertandingan peringkat PPD sahaja iaitu MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah) dan MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) kemudian tiada lagi.

Jadi platform yang kami buat ini dapat bantu sekolah terutamanya sekolah di Sabah secara umum,”

katanya.

Tambahnya lagi, objektif penubuhan akademi bola sepak bukan sekadar mahukan pencapaian tetapi mahu pemain-pemain bagus dari segi taktikal dan permainan.

Jelasnya, pembangunan akar umbi adalah untuk memberi fokus kepada memberi ilmu dan latihan supaya mereka faham apa itu bola sepak.

“Kebanyakkan pelatih yang menyertai akademi ini bukan berbakat tetapi untuk mencari bakat, jadi kami terapkan asas bola sepak terlebih dahulu untuk pelatih minat sekaligus mereka dapat meningkatkan kemahiran mereka.”

Akademi OSCA mempunyai pelatih dari usia enam hingga 17 tahun dan dilihat oleh barisan kejurulatihan berpengalaman dan mempunyai kelayakan lesen kejurulatihan.