Saya gembira dapat tiga mata, tapi bilik persalinan kami sekarang ibarat klinik – Tomislav Steinbruckner

1,441

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui beliau risau akan kecederaan yang menimpa para pemain selepas mencatatkan kemenangan ke atas Central Coast Mariners dalam saingan Piala AFC sebentar tadi.

Katanya, beliau membuat keputusan untuk meletakkan kesebelasan utama yang sama ketika menentang Selangor tempoh hari kecuali Arif Fadzilah yang menggantikan Alif Zakaria kerana ini merupakan perlawanan yang penting.


“Sebelum perlawanan ini kami putuskan mungkin mahu berikan lima atau enam pemain lain peluang dalam kesebelasan utama, tetapi selepas perbincangan kami fikirkan bahawa jika tewas pada perlawanan ini atmosfera akan menurun, selepas 11 tahun pasukan ini tidak bermain di kejohanan AFC.

Sekarang bilik persalinan ibarat klinik kerana terdapat beberapa masalah ketika perlawanan tadi, saya harap mereka sempat pulih dan kita akan lihat apa kita boleh buat untuk perlawanan Ahad ini (timbal balik Piala Malaysia menentang Selangor),”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan Piala AFC menentang Central Coast Mariners yang menyaksikan pasukannya menang 1-0.

Steinbruckner berkata, beliau berpuas hati dengan kemenangan yang dicatatkan walaupun menganggap ada beberapa ketika pasukannya bernasib baik tidak dibolosi.

“Saya gembira kita dapat tiga mata, ada ketika kita bernasib baik kerana mereka terlepas peluang.

Dari segi serangan bagi saya kami lakukan dengan baik, ada beberapa peluang yang bahaya, pemain juga sangat berdisiplin terutama di bahagian pertahanan.”

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan Ivan Mamut berkata tiga mata pada perlawanan pertama ini adalah amat penting buat mereka.

Katanya, kini pemain sudah memikirkan tentang perlawanan seterusnya iaitu timbal balik Piala Malaysia menentang Selangor.