VAR mampu bendung keganasan terhadap pengadil

212

Sejak akhir-akhir ini semakin banyak timbul isu ketidak puasan hati terhadap mutu pengadilan di Liga Malaysia sehingga ia membuatkan banyak pihak yang sudah tidak dapat tahan lagi.

Ini kerana semua sedia maklum bahawa keputusan pengadil adalah muktamad dan jika sesebuah pasukan tewas dek keputusan pengadil yang tidak betul ia tidak dapat mengubah keputusan itu dan pasukan itu sendiri akan menanggung akibat kekalahan itu.


Ya, tidak dinafikan mana-mana pengadil yang mempamerkan prestasi tidak berkualiti akan dikenakan tindakan seperti digantung dari mengendalikan mana-mana perlawanan untuk satu tempoh, namun ia masih tidak dapat mengubah keputusan perlawanan yang telah tamat.

Baru-baru ini ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 membabitkan pasukan Selangor FC dan Terengganu FC telah menjadi perhatian seluruh peminat bola sepak negara apabila berlakunya insiden keganasan melibatkan pemain dan pengadil.

Pemain import Selangor iaitu Yazan Al-Arab yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepadanya telah menyaksikan pemain itu bertindak di luar batas dengan menyepak dan meludah pengadil.

Tindakan tersebut adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima dan Yazan dijangka akan dikenakan hukuman berat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga dari kelabnya sendiri.

Disebalik kontroversi berterusan mengenai mutu pengadilan dalam saingan liga domestik, pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) dan FAM bakal memperkenalkan VAR (video bantuan pengadil) untuk saingan liga pada musim hadapan.

Ia merupakan satu inisiatif yang cukup baik oleh MFL dan FAM kerana ia pasti akan membawa Liga Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

Tidak hanya meningkatkan kualiti liga, apa yang penting adalah mutu pengadilan juga akan meningkat dan mungkin akan mengurangkan atau menghapuskan terus keputusan-keputusan kontroversi.

Bukan itu sahaja, dengan penggunaan VAR ini juga mungkin mampu mengelak situasi tegang atau insiden tidak diingini dek tidak puas hati dengan keputusan kontroversi pengadil.

Penggunaan VAR tidak bermakna setiap perlawanan akan bersih 100%, sebaliknya ia dapat membantu pengadil untuk buat keputusan tepat sekiranya berasa ragu-ragu dengan situasi yang berlaku.

Peminat juga perlu ingat bahawa VAR bukan solusi tepat kerana fungsinya adalah untuk bantu pengadil dan bukannya buat keputusan untuk pengadil.

Dalam satu temubual eksklusif Harimau Malaya bersama bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh sebelum ini turut menjelaskan pengadil tidak boleh terlalu bergantung kepada teknologi itu semata-mata.

Menurutnya, selain bantu pengadil untuk buat keputusan yang lebih tepat, VAR juga dapat mengawal tingkah laku pemain di atas padang.

Oleh itu, diharap dengan penggunaan VAR ini ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti permainan setiap pasukan, sekaligus dapat menjadikan Liga Malaysia sebagai salah sebuah liga terbaik di Asia.