Selangor ada kelebihan dapat tempat kedua, kami mahu jadi juara Piala Cabaran – Nafuzi Zain

210

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain mengakui Selangor FC mempunyai kelebihan untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua berbanding pasukannya.

Beliau percaya bahawa saingan untuk merebut kedudukan kedua akan diputuskan sehinggalah aksi terakhir liga.


“Dalam situasi sekarang saya boleh katakan bahawa kelebihan terletak kepada Selangor, tetapi kita masih ada lagi baki empat perlawanan dan kita akan terus berjuang sehinggalah ke penghujung.

Saya tak rasa perlawanan menentang Selangor (2 Disember) akan menjadi penentu kerana sebelum itu kita ada perlawanan menentang Negeri Sembilan dan Kelantan lagi, saya rasa ia akan ditentukan pada aksi terakhir liga menentang Sabah,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas aksi Liga Super menentang KL City FC yang menyaksikan Kedah menang 1-0 hasil jaringan Ifedayo Olusegun.

Nafuzi gembira pasukannya berjaya mengutip tiga mata penuh untuk terus mengejar Selangor dalam perebutan tempat kedua liga.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan semua perlawanan adalah penting dan tidak meletakkan fokus yang lebih terhadap mana-mana kejohanan.

“Bagi saya kita nak fokus dua-dua kejohanan (Liga Super dan Piala Cabaran MFL), untuk kejohanan yang tawarkan piala memang kita nak juara, saya sendiri nak.

Malam ini memang nampak pemain bermotivasi tinggi dan bersungguh-sungguh untuk mengejar kedudukan kedua liga.”

Kedah akan menghadpi cabaran Kuching City pada suku akhir kedua Piala Cabaran MFL, selepas tewas 1-0 pada aksi pertama.