Prestasi ‘yo yo’ Sang Kenari buat peminat tak senang duduk! Apa sudah jadi?

209

Peminat Kedah Darul Aman FC (KDA) kini tak senang duduk dengan prestasi ‘yo yo’ yang dipamerkan oleh pasukan kesayangan mereka sejak kebelakangan ini pada penghujung musim saingan Liga Malaysia 2023.

Realitinya, peminat Sang Kenari tidak meletak harapan menggunung langsung pada musim ini kerana sedar dengan rombakan besar-besaran yang dilakukan pasukan pada awal musim lalu, namun teruja dengan pengambilalihan pasukan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang dilihat memberi sinar harapan baru buat bola sepak Kedah.


Tidak hanya tertumpu kepada skuad senior sahaja, peminat turut mahu melihat perkembangan positif setiap skuad yang berada di bawah naungan KDA termasuk skuad KDA B, KDA C, KDA D, KDA E dan KDA F.

Ini kerana Kedah sememangnya terkenal sebagai ‘kilang ubi muda’ sebelum ini yang mana telah melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti yang turut menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Namun suka atau tidak, dua skuad yang menjadi tumpuan sudah semestinya skuad senior dan juga skuad yang beraksi di Piala MFL.

Skuad senior yang beraksi di saingan Liga Super kini berada di kedudukan ketiga liga dan ia merupakan satu perkara yang cukup positif kerana berjaya berada di kedudukan Top 3 walaupun ia adalah skuad yang baru dibentuk oleh ketua jurulatih baru, Nafuzi Zain.

Bagaimanapun apa yang membimbangkan peminat adalah prestasi tak konsisten yang dipamerkan oleh pasukan.

Kedah telah mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan dalam perlawanan Liga Super menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini apabila berjaya mengikat pasukan itu 3-3 dalam perlawanan yang cukup dramatik.

Tidak hanya menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menamatkan rekod kemenangan berturut-turut JDT, tetapi juga menjadi pasukan pertama yang berjaya menjaringkan lebih satu gol.

Aksi cemerlang yang dipamerkan memberi harapan bahawa mungkin musim ini Sang Kenari mampu mendapat keputusan baik dalam aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Perak FC yang mana Kedah merupakan pasukan pilihan berdasarkan prestasi semasa.

Bagaimanapun harapan itu musnah apabila Perak mempamerkan aksi yang lebih mantap apabila berjaya menang 4-3.

Peminat masih lagi menaruh harapan biarpun pasukan sudah tersingkir dari Piala Malaysia kerana pasukan yang tewas akan beraksi dalam Piala Cabaran (kejohanan baru yang diperkenalkan Malaysian Football League (MFL) berikutan Piala Malaysia tidak lagi dimainkan dengan format kumpulan.)

Malangnya, peminat terus kecewa apabila perlawanan menentang Kuching City FC turut menyaksikan Kedah tewas 4-0 secara agregat sekaligus memusnahkan harapan peminat untuk melihat pasukan sekurang-kurangnya memperoleh satu piala musim ini.

Bukan sahaja skuad senior, skuad B-23 yang beraksi dalam saingan Piala MFL turut mempamerkan aksi tidak konsisten apabila tewas kepada Perak FC II 3-0 dalam perlawanan Kumpulan Juara Piala MFL.

KDA B kini berada di kedudukan tercorot selepas perlawanan apabila hanya berjaya mengutip satu mata sahaja selepas keputusan satu seri dan tiga kekalahan.

Jadi secara realitinya, tampak cukup mustahil untuk anak-anak buah Rosle Md Derus untuk merebut kejuaraan tersebut dan ini sedikit sebanyak mengecewakan peminat.

Persoalan utama yang bermain dalam fikiran peminat Hijau Kuning ketika ini, apakah faktor utama yang menyebabkan pasukan tidak konsisten sepanjang musim ini.

Ya, terdapat ura-ura yang mengatakan pasukan itu turut mengalami masalah gaji sebelum ini tetapi difahamkan perkara itu sudah pun selesai, jadi apa faktor lain yang menyebabkan prestasi ‘yo yo’ pasukan?

Mungkin pasukan tidak lagi berkemampuan untuk beri piala kepada peminat, tetapi mereka masih mempunyai satu peluang untuk beri ‘hadiah’ kepada peminat setia mereka pada hujung musim ini.

Hadiah tersebut adalah tiket ke pentas Asia atau lebih tepat lagi Piala AFC pada musim hadapan.

Berdasarkan kedudukan semasa, Kedah berada di belakang Selangor FC di kedudukan kedua dengan perbezaan lima mata sahaja dan kurang satu perlawanan.

Dengan baki empat perlawanan, Kedah perlu memastikan mereka berjaya menang kesemua perlawanan untuk mengutip 12 mata penuh bagi mencerahkan peluang mereka untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

Melihat kepada jadual perlawanan, dua perlawanan terakhir akan menjadi penentu kerana mereka akan berdepan Selangor di Darul Aman dan Sabah FC di tempat lawan.

Jika Kedah berjaya menamatkan saingan liga di tangga kedua dan layak ke Piala AFC 2024, ia pastinya akan membuatkan peminat cukup teruja sekaligus dapat mengubat kekecewaan peminat sepanjang musim ini.

Apa pun, Pulun Kedah Pulun! Ayuh ke Asia!