Perlawanan berkualiti menaikkan semangat juang kami – Aiman Hakimi
Ketua pasukan Akademi Mokhtar Dahari Dream B-13, Aiman Hakimi akui semangat untuk berjuang di saingan Piala Supermokh 2023 semakin meningkat apabila bertemu dengan pasukan yang berkualiti seperti Fagiano Okayama.
“Alhamdulillah perlawanan hari ini menentang Fagiano Okayama merupakan satu perlawanan yang berkualiti dan ia sangat meningkatkan semangat untuk bersaing kami di kejohanan ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Aiman, pasukannya yang gagal mempamerkan aksi menarik di babak pertama adalah disebabkan kurang stamina dan tidak berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain.
“Separuh masa pertama kami agak kurang daripada segi stamina dan juga komunikasi namun apabila masuk babak kedua keadaan pasukan lebih tersusun selain pemain juga sudah mula untuk berkomunikasi,”
AMD Dream yang bermain baik di babak kedua membuahkan hasil dengan gol demi gol diraih namun ada satu ketika penjaga gol tersilap membuat hantara sekaligus membenarkan Fagiano Okayama mencuri satu gol daripada mereka.
Aiman yang memainkan peranan sebagai ketua pasukan memberitahu kepada pemain-pemainnya untuk kekal bertenang selain kembali tersusun agar tidak dibolosi lagi.
“Saya bagitahu mereka supaya terus fokus dan kekal tersusun selain jangan berhenti untuk komunikasi,”
AMD Dream yang berada di kedudukan teratas kumpulan A bagi peringkat umur bawah 13 tahun sudah selangkah ke pusingan separuh akhir dan menurut Aiman beliau mahu bawa pasukannya menjuarai Piala Supermokh dan meraih MVP musim ini.
“Harapan saya memang sasar untuk menjadi juara dan secara individu mahu dinobatkan sebagai MVP.”