Pemain kami berada dalam kesukaran disebabkan cuaca yang sangat panas – Lukasz Checinski

172

Jurulatih pasukan Lech Poznan, Lukasz Checinski akui cuaca yang panas Terik di sekitar Akademi Mokhtar Dahari agak menyukarkan para pemainnya beraksi pada hari pertama kejohanan Supermokh 2023 berlangsung.

Lukasz yang ditemui memberitahu bahawa cuaca panas sememangnya menjadi cabaran buat mereka dalam kejohanan kali ini namun selepas beberapa hari di sini para pemainnya sudah mula beradaptasi sekaligus mempamerkan aksi terbaik dan berada di puncak kumpulan.


“Untuk kami memang agak sukar dengan keadaan cuaca yang sangat panas namun paling sukar adalah semasa perlawanan pertama dan kini kami sudah boleh menyesuaikan diri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Di samping itu juga, menurut jurulatih pasukan asal Poland tersebut AMD sebuah akademi yang serba serbi lengkap dan tidak mustahil pada masa hadapan mereka dapat melahirkan pemain-pemain yang boleh bersaing di Eropah.

“Sudah tentu dengan pembangunan pemain yang dilakukan oleh AMD tidak mustahil mereka dapat bersaing di Eropah,”

Perlawanan terakhir kumpulan melihatkan Lech Poznan menumpaskan AMD Future B-13 dengan skor 2-0 dan menurut Lukasz perlawanan hari ini tidak mudah buat mereka apabila turut diserang bertubi-tubi namun berkat disiplin serta kekemasan di benteng pertahanan mereka berjaya menghalang.

“Saya melihat AMD sebagai sebuah pasukan yang bagus terutama dari aspek kualiti individu serta perlawanan hari ini memang agak sukar buat kami dan sudah tentu mereka mempunyai peluang yang sangat banyak.”

Lech Poznan mara ke pusingan separuh akhir bagi kategori bawah 13 tahun selepas berjaya memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan menentang Hong Kong FA, Evergrande dan AMD Future B-13.