Apa sudah jadi dengan Liga Wanita Nasional?

455

Apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengubah format saingan Liga Wanita Nasional (LWN) kepada saingan liga biasa iaitu home dan away bagi musim 2023 ia mendapat maklum balas yang cukup positif daripada banyak pihak.

Ini kerana dengan perubahan format tersebut selaras dengan ketetapan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


LWN musim ini pada mulanya akan menampilkan sebanyak 10 pasukan yang akan bersaing, namun belum pun liga bermula, sudah timbul beberapa perkara yang kurang enak didengar iaitu penarikan diri beberapa pasukan.

Sebuah kelab tersebut adalah Raintown FC Tigress yang telah menarik diri di saat-saat akhir, namun kehadiran kelab LMS Tigress FC sedikit sebanyak memeriahkan saingan LWN yang menyaksikan hanya enam pasukan sahaja yang bersaing.

Tidak dapat dinafikan, jumlah pasukan yang bersaing sedikit sebanyak menjejaskan kualiti liga tersebut kerana ia kurang kompetitif jika hendak dibandingkan sekiranya terdapat 10 pasukan yang bersaing.

Namun saingan LWN tetap berjalan disebalik kekurangan yang dihadapi dan ianya tampak berjalan dengan lancar sehinggalah baru-baru ini timbul pula khabar angin baru yang mengatakan LMS Tigress telah menarik diri tanpa sebarang alasan.

Khabar angin itu timbul apabila pasukan Sabah FA mendapat tiga mata percuma selepas pasukan lawan LMS Tigress gagal hadir untuk perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 21 Oktober lalu.

Tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak LMS Tigress mahukan dari pihak penganjur ketika ini mengenai status kelab itu.

Melihat kepada situasi terkini, nampaknya LWN kini akan berjalan dengan hanya lima pasukan iaitu Sabah FA, SSMP, Kelana United FC, Malaysian University dan Selangor FC.

Jadi persoalannya kini, apa sudah berlaku dengan LWN 2023?

Perubahan format ini sepatutnya akan menjadikan saingan liga semakin rancak dan kompetitif tetapi sebaliknya berlaku.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan saingan LWN musim lalu lebih ‘meriah’ dengan kehadiran 19 pasukan yang mana ia dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Tengah, Zon Utara dan Zon Selatan.

Salah siapa sebenarnya apabila perkara seperti ini berlaku? Pihak kelab? Atau pihak FAM?

Realitinya bukan mudah untuk sesebuah menguruskan sesebuah pasukan bola sepak kerana ia memerlukan kewangan yang kukuh dan bola sepak wanita masih lagi belum mencapai satu tahap yang tinggi untuk membolehkan mereka terus bersaing.

Kelab-kelab besar di Liga Super pun sering berdepan masalah kewangan, jadi ia bukan perkara yang mengejutkan sekiranya pasukan bola sepak wanita ‘gulung tikar’ dek masalah kewangan.

Ya, tidak dapat dinafikan sokongan terhadap bola sepak wanita semakin menunjukkan peningkatan positif namun ia masih gagal untuk menarik penaja untuk melabur kerana tahu sukar untuk mereka mendapat pulangan pelaburan.

Suka atau tidak kita harus mengakui bahawa bola sepak di Malaysia tidak menguntungkan untuk mana-mana pihak.

Kos boleh dikatakan sebagai musuh utama setiap pasukan yang bersaing di LWN kerana dengan tidak mempunyai kewangan kukuh, memang sukar untuk mereka ‘bernafas’ sepanjang tempoh saingan liga.

Suka atau tidak, majoriti kelab-kelab bola sepak wanita ketika ini hanya mampu untuk bermain dalam saingan liga dengan format karnival yang mana ia dapat mengurangkan kos seperti pengangkutan, penginapan dan lain-lain.

Namun format seperti ini akan menyukarkan tugas ketua jurulatih pasukan Malayan Tigress iaitu Soleen Al-Zoubi untuk memilih pemain yang terbaik jika seseorang pemain itu hanya bermain untuk satu tempoh yang singkat sahaja.

Ini kerana untuk memastikan pemain yang terpilih untuk menyarung jersi kebangsaan, sudah pastinya jurulatih mahu melihat prestasi terkini dan bukannya prestasi beberapa bulan yang lalu, oleh sebab itu pentingnya saingan liga berjalan dalam tempoh yang panjang.

Dengan situasi ini, satu lagi persoalan yang akan timbul kelak iaitu apa akan jadi pada saingan LWN musim 2024? Adakah ia akan kembali dengan format zona tau kekal dengan format ketika ini.

Jika kekal dengan format sedia ada, berapa banyak pasukan yang akan bersaing? Adakah akan ada pertambahan atau sebaliknya?

Bola sepak wanita ketika ini sudah memperlihatkan peningkatan yang cukup positif dengan semakin banyak pemain-pemain muda diketengahkan dan mereka ini adalah pelapis-pelapis untuk masa akan datang.

Namun jika mereka tidak mempunyai platform untuk menunjukkan kemampuan mereka, bagaimana bola sepak wanita hendak berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa?

Diharap FAM yang diterajui oleh Datuk Hamidin Mohd Amin dan Jawatankuasa Bola Sepak Wanita dapat mencari solusi terbaik untuk terus memartabatkan bola sepak wanita supaya standing dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.