Niat nak bantu Kelantan FC tapi nama Shekoo terjejas dek masalah yang dihadapi

321

Ejen bola sepak Shekoo Stars Agency, Sherif Ahmed Moustafa kesal dan kecewa dengan nasib malang yang menimpa dirinya apabila imejnya terjejas apabila cuba menolang Kelantan FC dengan membawa masuk pemain ke kelab itu.

Namun niat murninya itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila masalah kewangan yang dihadapi oleh Kelantan menyebabkan pemain yang dibawanya tidak dapat didaftarkan.


“Ketiga-tiga pemain saya sangat profesional apabila tetap turun berlatih dengan pasukan, tanggung sendiri kos penginapan dan makan tapi memandangkan kesemua pemain ini tidak dapat didaftarkan mereka pulang ke tanah air mereka dengan membeli tiket menggunakan wang mereka sendiri.

Memang ramai yang memberi amaran kepada saya supaya tidak melibatkan diri dengan Kelantan tapi saya tetap tolong kerana rakan baik saya iaitu Ghaddar minta tolong bekas kelabnya itu.

Saya tak gembira dengan apa yang berlaku dengan Kelantan kerana ia mencalarkan nama saya kerana saya bekerja keras tanpa mengambil yuran ejen, malah saya keluarkan wang saya sendiri tetapi akhirnya perkara tak diingini berlaku,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Shekoo pada masa sama turut meluahkan rasa kecewanya dengan pemilik kelab The Red Warrior iaitu Norizam Tukiman yang tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada ketiga-tiga pemainnya itu.

Dalam pada itu, beliau turut berasa bersalah dengan apa yang berlaku kepada pemain-pemainnya itu walaupun mereka sudah mempunyai kelab baru.

Apa yang berlaku tidak pernah mematahkan semangatnya, sebaliknya beliau akan terus membawa masuk pemain ke Malaysia tetapi fokus yang kini lebih kepada negara-negara di Timur Tengah.

Selain menjadi ejen pemain, Shekoo turut mendedahkan bahawa beliau akan menubuhkan akademi bola sepaknya tidak lama lagi.

“Saya baru sahaja mendaftarkan akademi bola sepak saya untuk peringkat junior dan senior yang mana saya akan scout pemain-pemain terbaik di Malaysia untuk dibentuk menjadi pemain berkualiti termasuk bantu bakat Malaysia berpotensi untuk lebih menyerlah.”

Sementara itu, biarpun beliau berdepan masalah dengan Kelantan, namun beliau adalah individu yang bertanggungjawab dalam membawa dua pemain ke Penang FC iaitu Soony Saad dan Ousmane Fane yang merupakan pemain utama skuad Harimau Kumbang itu ketika ini.