Buat gaji siling pun tak guna kalau masih wujud ‘double contract’

285

Liga Super dan masalah gaji berpisah tiada! Saingan Liga Super musim ini boleh dikatakan cukup bermasalah sejak dari awal musim lagi apabila timbul isu membabitkan masalah tunggakan gaji.

Jika sebelum ini fokus kepada Kelantan FC yang mengalami masalah tunggakan gaji yang teruk sehingga sebahagian besar cabut lari dek tidak tahan dengan situasi yang dihadapi mereka.


Isu tunggakan gaji ini umpama barah yang cepat merebak dan bola sepak tanah air baru-baru ini dikejutkan dengan beberapa kelab besar lain turut berdepan masalah sama iaitu Kedah Darul Aman FC, Sabah FC, KL City FC dan Negeri Sembilan FC.

Malah pemilik Sang Kenari iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah mengadakan satu sidang media bagi menjelaskan situasi getir yang sedang dihadapi pasukan dari utara itu termasuk mengakui berlakunya tunggakan gaji.

Bila timbulnya isu tunggakan gaji pastinya ramai peminat yang mendesak supaya pihak pengelola liga Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan proaktif untuk membendung masalah ini dari berlaku.

Antara solusi yang paling banyak dicadangkan adalah untuk pihak MFL memperkenalkan salary cap atau gaji siling kepada gaji pemain yang mana ia dikatakan dapat mengelak dan mengurangkan isu tunggakan gaji ini dari terus berlaku.

Tidak dinafikan ia adalah satu cadangan yang baik di mana ia dapat mengawal perbelanjaan sesebuah kelab bagi memastikan mereka hanya berbelanja mengikut bajet yang sedia ada dan kelab tidak berdepan masalah kewangan ketika saingan liga berjalan.

Secara dasarnya, ia adalah perkara yang baik tetapi realitinya majoriti kelab-kelab tidak akan bersetuju dengan cadangan ini terutamanya kelab yang mempunyai kewangan yang kukuh, selain pastinya pemain-pemain juga tidak akan bersetuju kerana ia akan menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka.

Suka atau tidak jika MFL memperkenalkan gaji siling pun tiada gunanya juga kerana kelab-kelab akan menggunakan cara lain pula iaitu ‘double contract’ atau bahasa mudahnya seseorang pemain mempunyai dua kontrak berbeza bersama kelab.

‘Double contract’ bukan perkara yang baru sebaliknya ia sudah lama berlaku dalam Liga Malaysia dan boleh dikatakan hampir kesemua kelab buat.

Antara faktor utama mengapa ‘double contract’ ini wujud adalah kerana mereka mahu mengelak dari membayar cukai pendapatan yang besar.

‘Double contract’ yang sering berlaku adalah pemain akan menandatangani Kontrak 1 iaitu kontrak rasmi yang diserahkan kepada pihak FAM yang mana dalam kontrak itu nilai gaji yang diisytiharkan lebih rendah.

Pemain itu kemudian akan menandatangani Kontrak 2 secara senyap-senyap diluar pengetahuan FAM di mana jumlah gaji dalam kontrak itu adalah baki dari jumlah keseluruhan yang ditawarkan.

Contoh mudah, sekiranya seorang pemain ditawarkan gaji berjumlah RM50,000, tetapi dalam Kontrak 1 menyatakan gaji rasmi pemain itu adalah RM10,000 sahaja, manakala Kontrak 2 adalah baki gaji berjumlah RM40,000.

Dengan hampir kesemua kelab melakukan perkara sama, adakah tindakan MFL memperkenalkan gaji siling akan memberi impak? Jawapan mudahnya tidak!

Jadi apa yang perlu dilakukan untuk pastikan isu gaji tidak timbul? Perkara ini boleh diselesaikan jika kelab mempunyai kesedaran dan berbelanja ikut kemampuan atau ‘ukur baju di badan sendiri’.

Setiap pengurusan kelab tidak perlu berlumba-lumba untuk mengikut jejak langkah kelab kaya yang mampu berbelanja lebih RM50 juta setahun kerana realitinya industri bola sepak di Malaysia sangat merugikan.

Yang menjadi pertikaian adalah kualiti liga tidak semenggah tapi gaji pemain pula cukup tinggi mengalahkan gaji pemain-pemain yang beraksi di liga lebih tinggi dan kompetitif.

Melihat pada situasi ketika ini, nampaknya masalah gaji ini seperti tiada titik noktah dan akan berterusan selagi sesuatu tindakan drastik dilakukan.

Apa pun kita harapkan isu gaji ini dapat dikurangkan dari tahun ke tahun dan menyeru peminat bola sepak tanah air untuk terus menyokong liga tempatan dengan turun ke stadium dan membeli barangan pasukan yang asli supaya kelab dapat menjana pendapatan.