Kerteh FC pula jadi mangsa ‘pintu belakang’

3,452

Isu pemain dikebas guna ‘pintu belakang’ bukan perkara baru dalam dunia bola sepak kerana sebelum ini perkara sama pernah menggegarkan dunia bola sepak tanah air sehingga mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Tidak hanya terhad kepada pemain di kelab-kelab profesional sahaja, isu ‘pintu belakang’, kelab dan akademi juga tidak terlepas menjadi mangsa modus operandi ini dengan terbaru Kerteh FC turut terkena.


Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ketua Pembangunan Pemain Kerteh FC, Adam Sariman menerusi satu ciapannya di laman sosial X (Twitter).

Dalam ciapannya itu, beliau meluahkan rasa kecewanya terhadap sesetengah kelab yang mengambil pemain muda tanpa melalui pihak mereka.

“Kecewa dengan cara beberapa kelab beroperasi, mengambil pemain mud akita tanpa kebenaran kita. Kelab yang terlibat telah melakukannya tahun lalu dan kini mereka lakukan lagi tahun ini.

Sudah banyak kali saya terangkan kepada ibu bapa mengenai program jalan kerjaya kami, tapi ia berakhir dengan hasil saya sama,”

tulisnya.

Adam dalam kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti kelab yang dimaksudkan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab iaitu Syed Khairi Amier Bin Syed Radzuan turut meluahkan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku.

“Mungkin dah sampai masa untuk fikir balik, sama ada mahu diteruskan projek ini atau tutup terus.”

Sementara itu, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa isu ‘pintu belakang’ ini sebenarnya banyak berlaku dalam akademi atau kelab program pembangunan, namun sehingga kini masih tiada solusi untuk atasi masalah sama dari berulang.

Mungkin sudah tiba masanya, setiap pemain di akademi atau kelab pembangunan mempunyai kontrak supaya mana-mana kelab yang ingin seseorang pemain perlu membayar pampasan atau dikenali sebagai yuran pembangunan.

Yuran pembangunan ini penting bukan kerana objektif utama sesebuah akademi atau kelab pembangunan bukan untuk menjana keuntungan sebaliknya yuran pembangunan itu akan digunakan untuk menaik taraf kualiti sekaligus dapat melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.